Hina Mahkamah Syariah: Maria Chin gagal peroleh kebenaran merayu

Hina Mahkamah Syariah: Maria Chin gagal peroleh kebenaran merayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah gagal mendapatkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung surat tunjuk sebab kerana menghina Mahkamah Syariah.

Pada 27 November 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Maria memulakan semakan kehakiman bagi mencabar notis tunjuk sebab dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Notis itu dikeluarkan selepas Maria mengkritik keputusan mahkamah berkenaan yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia Hanafi, bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin

Dalam kes sivil, mana-mana pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran untuk berbuat demikian terlebih dahulu.

Pada prosiding hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Nordin Hassan dan bersidang bersama-sama Hakim Abu Jais Bakar dan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan menolak permohonan Maria selepas mendapati tiada isu baharu yang ditimbulkan bagi membolehkan rayuan didengar.

Mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah berkenaan kos.

Pada prosiding hari ini, Maria diwakili oleh peguam-peguam, Bahari Yeow dan Rosli Dahlan manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly hadir bagi pihak kerajaan.

Sementara itu, peguam, Datuk Akberdeen Abdul Kader yang hadir sebagai peguam pemerhati kepada SM Faisal ketika ditemui media memberitahu, dengan keputusan hari ini, Maria perlu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah.

Pada 22 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Maria untuk memulakan semakan kehakiman selepas memutuskan beliau tidak mencabar mana-mana bahagian undang-undang Islam di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah tetapi bidang kuasa mahkamah itu berhubung prosiding komital terhadapnya.

Dalam semakan kehakiman itu, wanita terbabit antara lain memohon perintah bagi membatalkan tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 Oktober 2019 yang membenarkan Perintah Kebenaran Pengkomitan dan Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan ke atasnya.

Maria mendakwa pengeluaran perintah dan notis itu adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta menyalahi Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998).

Permohonan bagi memulakan prosiding komital (hina mahkamah) itu dikemukakan SM Faisal selepas Maria mengeluarkan komen dan mengkritik keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia Hanafi kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka tanpa kebenaran.

Pada 4 Disember 2020, Maria diperintah mengemukakan tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah selepas permohonan beliau untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mencabar keputusan mahkamah itu ditolak.

Pada 25 April 2022, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhi hukuman penjara tujuh hari kepada Maria selepas mendapati Ahli Parlimen Petaling Jaya itu telah menghina mahkamah melalui artikel yang diterbitkan wanita itu pada 5 September 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN