Henti pencerobohan, tangani krisis alam – Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Henti pencerobohan, tangani krisis alam – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pencabulan dilakukan terhadap mana-mana makhluk yang menyebabkan kemusnahan, kerosakan, pencemaran dan pembunuhan akan membawa kepada ketidakseimbangan dan terganggunya proses kitaran hidup alam semula jadi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kemunculan haiwan yang mula berkeliaran menghampiri penempatan manusia menandakan bahawa habitat mereka telah diganggu dan dicerobohi.

Titah baginda, Negeri Perak memilih ‘Hijrah dan Kelestarian Menyatukan Ummah Memelihara Bumi sebagai tema sambutan Maal Hijrah 1447 dan Islam melarang keras sebarang bentuk pencemaran yang boleh merosakkan alam sekitar.

“Alam sekitar yang rosak bukan hanya memberi implikasi buruk kepada manusia bahkan seluruh alam akan merasai kesan yang mengundang bencana dan bahaya.

“Islam memandang perbuatan mencemarkan alam sehingga merosakkan habitat dan menjejaskan kehidupan makhluk sebagai perlakuan dosa dan pelakunya dilaknat.

“Amatlah tidak bertanggungjawab bagi manusia yang dikurniakan akal oleh Ilahi memilih melakukan kerosakan.

“Insaflah, sedarlah. Bencana yang semakin merosakkan bumi ini berpunca daripada manusia yang kufur, manusia yang melampaui batas, manusia yang melanggar perintah Ilahi, manusia yang melakukan dosa dengan mencabuli hak makhluk lain,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri di Casuarina@Meru di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Sultan Nazrin bertitah, dunia pada hari ini berhadapan fenomena alam yang mengalami pelbagai bencana sehingga mengancam kesejahteraan hidup dan kelestarian alam.

Ujar baginda, pertambahan bilangan serta kepadatan penduduk, penerokaan tanah dan penempatan baharu, pembinaan prasarana, peningkatan kawasan bandar dan pengembangan aktiviti perindustrian secara langsung telah memberi kesan terhadap alam.

“Fenomena yang sedang berlaku seharusnya mencetuskan kesedaran kepada pelbagai pihak untuk berganding bahu menangani krisis alam yang semakin membimbangkan.

“Islam sebagai agama yang syumul mementingkan perlindungan terhadap alam sekitar dan mentakrifkan usaha memulihara alam sekitar sebagai ibadah,” titah baginda.

Baginda bertitah, bumi ialah tempat tinggal sementara yang dipinjamkan oleh Allah kepada manusia sebelum manusia berpindah ke alam barzakh atau apabila sampai ketentuan yang bumi ini akan hancur dan lenyap ketika tibanya kiamat.

Titah baginda, bumi ini juga merupakan tempat tinggal semua makhluk lain ciptaan dan milik Ilahi.

“Haiwan, unggas, kehidupan laut dan sungai, tumbuh-tumbuhan, sumber alam dan pelbagai kehidupan lain berkongsi dan berada di bumi yang sama,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin menzahirkan harapan agar permulaan hijrah 1447 menjadi titik tolak kepada keinsafan untuk melakukan perubahan dan menghentikan segala kebejatan yang memusnahkan alam.

“Semoga tema ‘Hijrah dan Kelestarian: Menyatukan Ummah Memulihara Bumi’ dapat meningkatkan kesedaran ummah terhadap kelestarian alam sekali gus mengungkap mesej berkesan, menggerakkan penghijrahan ummah untuk melestarikan bumi dan memulihara alam,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN