PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan wakil rakyat supaya menghentikan budaya turun padang bertemu rakyat hanya pada saat-saat akhir menjelang pilihan raya.
Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, merek sepatutnya terus konsisten berkhidmat untuk rakyat sepanjang masa.
Beliau berkata, pendekatan Madani bukan gimik politik terutama menjelang pilihan raya, sebaliknya memberi perhatian kepada kelompok majoriti rakyat.
“Ini lah yang berlaku. Sebab itu saya lihat, setiap hari Jumaat, saya pergi makan di warung dulu atau di gerai dalam 15 hingga 20 minit sebelum solat Jumaat.
“Ini sahaja cara kita lihat soal kebersihan dan kemudahan kerana ia menyentuh kepentingan 80 peratus rakyat.
“Saya tidak mahu bawa mereka pergi hanya dua bulan sebelum pilihan raya. Kerana dua bulan sebelum pilihan raya, semua orang politik akan cium bayi, akan jalan di warung, akan tanya khabar di rumah. Saya kena hentikan budaya itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kota Madani di sini hari ini.
Anwar berkata, sejak awal kepimpinan Madani pada Disember 2022, beliau sendiri akan turun padang setiap Jumaat untuk menyantuni rakyat sebelum menunaikan solat Jumaat.
“Dari awal bulan Desember 2022 setiap minggu hari Jumaat tanpa kecuali, saya santuni orang ramai di warung dan gerai sebelum ke solat Jumaat.
“Budaya ini supaya kita tahu keutamaannya. Bukan saya nak cakap, saya nak ceritakan ini ada mesejnya,” katanya.
Berhubung pembangunan Kota Madani, beliau berkata, pembangunan kota bukan sahaja perlu maju dari segi fizikal dan teknologi, tetapi juga sarat dengan nilai budaya dan rohani.
Jelasnya, kota yang hebat bukan sekadar bangunan pencakar langit tetapi mesti melambangkan kekuatan budaya dan sejarah.
“Kota moden yang ‘gersang’ budaya tidak dapat membina semangat kebersamaan, nilai asabiyah dan jati diri masyarakat.
“Perancangan Kota Madani turut mengambil kira keselesaan dan keselamatan penduduk, termasuk penyediaan laluan laluan pejalan kaki ke sekolah, masjid, tadika, dewan komuniti dan tempat kerja,” katanya. – UTUSAN