PETALING JAYA: Penurunan harga minyak mentah dunia serta cabaran global dalam industri minyak dan gas, faktor Petroliam Nasional Sdn Bhd (Petronas) mengurangkan 5,000 tenaga kerjanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengurangan itu juga tiada kaitan dengan isu membabitkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama Petronas berhubung langkah pengurangan pekerja.
“Tidak, ia tiada kaitan dengan itu. Ia sebenarnya disebabkan oleh keadaan global, terutamanya penurunan dan turun naik harga minyak.
“Petronas perlu melihat semula keseluruhan operasinya. Saya merancang untuk mengadakan pertemuan dengan mereka untuk mendapatkan taklimat mengenai perkara itu dan bagi memastikan jumlah pemberhentian pekerja dapat dikurangkan, jika tidak dapat dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis korban Aidiladha di Masjid Darul Husni Warrahmah di Taman Hussien, Petra Jaya, Kuching hari ini.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilaporkan berkata, 10 peratus daripada tenaga kerjanya atau kira-kira 5,000 orang akan dikurangkan susulan penstrukturan semula syarikat itu secara menyeluruh.
Jelasnya, langkah itu terpaksa diambil bagi mengurangkan kos susulan kejatuhan harga minyak mentah dengan semua pihak yang terbabit dengan penstrukturan semula itu akan dimaklumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebanyakan pekerja yang akan dikurangkan secara berperingkat sepanjang tahun depan adalah berstatus kontrak.-UTUSAN