Harga buluh imbangi kenaikan santan

Harga buluh imbangi kenaikan santan

FUAD Hasan (dua dari kanan) memilih buluh daripada seorang pembekal di Malim, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Harga lemang untuk sambutan Hari Raya Aidiladha hujung minggu ini kekal antara RM15 hingga RM18 sebatang sama seperti Syawal lalu.

Pengusaha lemang, Fuad Hasan, 36, berkata, meskipun bahan mentah utama iaitu santan mengalami kenaikan RM16 sekilogram berbanding hanya RM12 sekilogram tahun lalu, harga buluh yang kekal antara RM1.20 hingga RM1.50 sebatang memberi kelegaan kepada mereka.

Katanya, senario itu tidak memberi impak besar terhadap keuntungan majoriti peniaga kerana kenaikan harga santan tidak disusuli kenaikan harga buluh.

“Saya tidak menafikan kenaikan santan yang dijual pada harga RM16 sekilogram sedikit menjejaskan keuntungan, namun harga buluh kekal pada harga lama sedikit melegakan. Saya tetap jual lemang serendah RM15 hingga RM18 sebatang dan harga ini saya jual sama sewaktu Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Buat apa saya naikkan harga lemang sampai orang tidak beli, biarlah harga ini kekal asalkan orang mampu untuk membelinya. Kalau harga buluh naik mendadak mungkin saya terpaksa menaikkan harga kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Samsuddin Ishak, 43, berkata, untuk Aidiladha kali ini dia membeli 400 batang buluh dan merancang berniaga selama tiga hari bermula hari ini.

“Kalau saya naikkan harga melebihi RM18 sebatang mungkin akan menjejaskan perniagaan, jadi saya ambil keputusan untuk kekal pada harga yang sama sewaktu jualan pada Aidilfitri yang lalu.

“Seperkara lagi harga buluh dari pembekal kekal pada harga lama sejak empat tahun lalu dan ini antara sebab utama saya kekalkan harga lama, walaupun santan terus naik setiap kali tiba perayaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN