Harap Pak Man berubah, jauh najis dadah - Isteri

Harap Pak Man berubah, jauh najis dadah – Isteri

MAK NAB mencium tangan Pak Man yang dibebaskan menerusi program PBSL di Penjara Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang isteri berharap suaminya berubah dan menjalani kehidupan baharu selepas dibebaskan awal daripada hukuman penjara yang dihadapi selepas terjebak dalam najis dadah.

Yang yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Nab, 60, berkata, suaminya, Pak Man,72, yang dikahwininya sejak 40 tahun lalu tidak pernah serik dengan menjadikan ganja sebagai sebahagian daripada kehidupannya walaupun sudah dua kali dihukum dengan kesalahan sama di Melaka dan kali ketiga di sini.

Walaupun sudah mempunyai enam anak dan 14 cucu, keengganannya berubah menyebabkan semua ahli keluarga kesal dengan tindakannya, namun kali ini mereka amat berharap dia akan menjauhi dadah selepas dibebaskan hari ini.

“Selama perkahwinan kami, semua perhatian dan kasih sayang diberikan sepenuhnya kepada dia, termasuk daripada anak-anak namun tak pernah berusaha untuk berubah.

“Diharapkan ini adalah yang terakhir baginya dan menjadikan pengalaman berada di dalam tirai besi sebagai pengajaran untuk mengubah hidup memandangkan sudah di penghujung umur,” katanya ketika ditemui pada Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Penjara Kluang untuk menemui suaminya yang dibebaskan selepas empat bulan menjalani hukuman penjara akibat kesalahan dadah.

Dalam pada itu, Pak Man bersyukur kerana dibebaskan awal walaupun sepatutnya perlu menjalani hukuman selama 12 bulan akibat kesalahan dadah.

Dia mengakui ketika di Penjara Kluang banyak pengajaran diperoleh, termasuk tidak dapat menemui ahli keluarga ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Rindu nak menikmati masakan isteri, apatah lagi sambutan Hari Raya Aidiladha akan tiba tidak lama lagi. Walaupun hanya empat bulan, namun ia bagaikan terlalu lama untuk dihadapi dan membibitkan rasa kesal yang mendalam dan bersumpah tidak akan mengulangi kesalahan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Kluang, Penolong Komisioner Penjara, Jomison Gondikit berkata, PBSL kali ini melibatkan 72 banduan dengan 69 daripadanya lelaki dan tiga wanita yang terlibat dalam kes di bawah Seksyen 15 dan 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mempunyai baki hukuman antara dua bulan hingga 12 bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN