BUTTERWORTH : Pemandu Perodua Kelisa yang tular kerana dikejar oleh dua Unit Kereta Peronda (MPV) polis di Jalan Bagan Dalam, baru-baru ini, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Tertuduh, Mohd Fadzly Mohd Zahari, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan, pekerja kilang itu didakwa dengan sengaja menghalang Koperal Mohd Shamsuddin Zakaria daripada menjalankan tugas secara sah kira-kira pukul 10 malam di hadapan Flat Ampang Jajar, pada 19 Jun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli kemudian memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan tindakan tertuduh turut merisikokan keselamatan orang awam dengan memandu secara berbahaya termasuk melawan arus.
Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu agar denda minimum dikenakan kerana anak guamnya hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,700 sebulan.
Sementara itu, dalam prosiding yang sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis amphetamine seberat 0.99 gram di lokasi dan tarikh yang sama dengan pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan itu pula, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan kimia.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 Ogos depan.-UTUSAN