KUALA LUMPUR: Dalam memperkukuhkan sistem pendidikan negara, peranan guru tidak boleh dipandang enteng kerana mereka bukan sahaja penyampai ilmu, malah menjadi tonggak yang menggerakkan perubahan dan membina masa depan generasi muda.
Di sebalik pelaksanaan pelbagai dasar termasuk Program Anak Kita, inisiatif nasional yang memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran asas, pencegahan keciciran pelajar serta peningkatan kelulusan SPM, guru dilihat sebagai jantung utama kepada kejayaan program ini.
Menurut guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 24, Selangor, Che Nurul Fadhilah, guru bukan sekadar pendidik sebaliknya mereka membimbing dengan penuh kasih sayang dan keprihatinan.
“Setiap murid ada potensi yang tersembunyi. Kadangkala, kita sebagai guru perlu menjadi orang pertama yang percaya kepada kebolehan mereka, walaupun mereka sendiri masih belum yakin,” katanya.
Bagi guru SK Senggarang, Johor, Zaiha Nabiha pula, tugas seorang guru kini lebih luas daripada mengajar di dalam kelas semata-mata.
“Saya melihat diri saya sebagai mentor terutama kepada murid-murid yang hampir tercicir. Bukan mudah, tetapi jika kita tidak mengambil berat, siapa lagi yang akan peduli?” ujarnya.
Sementara itu, guru SK Taman Damansara Aliff, Mohd Zani menegaskan, keupayaan guru untuk menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut keperluan harian murid adalah kunci kejayaan.
“Setiap hari, kita lihat perubahan anak-anak ini. Ada yang perlukan sokongan lebih, ada yang cepat memahami. Sebab itu pendekatan mesti fleksibel,” katanya.
Inovasi dan Cabaran dalam Program Anak Kita
Program Anak Kita memberi ruang kepada guru untuk merancang strategi pengajaran berfokus, inovatif serta mencipta persekitaran pembelajaran yang lebih bermakna, selari dengan cabaran semasa.
Berkongsi pengalamannya, guru SK Karakit Banggi, Sabah, Weltiana berkata, latihan dan sokongan yang diberikan melalui program itu meningkatkan keyakinan guru, khususnya di kawasan pedalaman.
“Kita tidak lagi bergantung pada ‘chalk and talk’. Murid kini lebih tertarik kepada visual, teknologi dan pengalaman praktikal,” kata guru SK Peserai, Johor, Hamidah.
Bagaimanapun, cabaran tetap ada termasuk ketidakhadiran murid, jurang penguasaan pelajaran, kekangan sumber dan beban tugas pentadbiran yang membebankan guru.
“Ramai murid hilang motivasi dan tidak fokus di kelas, ditambah pula ibu bapa kurang memberi penekanan terhadap kehadiran ke sekolah,” ujar Mohd Zani.
Pandangan itu turut dikongsi guru SK Subang Bestari, Hanafisah yang menegaskan bahawa guru kini menjadi sumber inspirasi utama kepada murid, khususnya yang kurang menerima sokongan dari rumah.
Pendidikan Tanggungjawab Kolektif
Menurut Weltiana, walau berdepan cabaran, guru tidak pernah patah semangat demi memastikan anak-anak bangsa berjaya.
“Kunci utama adalah pengurusan masa dan pemikiran yang positif. Sokongan komuniti sekolah amat penting, terutamanya untuk memberi ruang refleksi dan sokongan emosi kepada guru,” katanya.
Sementara itu, guru SK Puchong Utama, Liza Rozy menegaskan, tugas mendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga membina akhlak dan keyakinan diri.
“Apabila kita menyelami jiwa murid, pendidikan itu bukan sekadar akademik, tetapi turut menyentuh hati,” katanya.
Hakikatnya, peranan guru wajar dihargai bukan hanya ketika sambutan Hari Guru, malah setiap hari. Di sebalik kejayaan murid yang mampu membaca, menulis, mengira dan kembali ke sekolah, ada guru yang tidak pernah berhenti mempercayai potensi mereka.
Mereka inilah yang setiap hari berkorban dalam diam, menyuntik semangat, meminjamkan harapan dan memecah ruyung demi masa depan anak bangsa. – UTUSAN