SEREMBAN: Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah di Tampin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Asyraf Ahmad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun tiga bulan semasa kejadian dengan cara memegang paha, kemaluan dan mencubit pipi mangsa bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 9 pagi di dalam kereta di Kilometer 242.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, dalam daerah Rembau pada 17 Mei lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan dan mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan minimum kerana perlu menanggung dua anak serta ibu bapa yang tidak sihat selain membayar komitmen lain.
Tertuduh berkata, dia merupakan seorang guru dan telah ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah Tampin sejak seminggu lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat-syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 15 Julai depan. – UTUSAN