PETALING JAYA: Penetapan penggunaan barangan tempatan dalam penganjuran acara rasmi kerajaan perlu disokong dengan strategi serta dasar yang jelas, bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara khususnya sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, langkah itu penting bukan sahaja untuk meningkatkan pengeluaran produk tempatan, tetapi perlu bermatlamat untuk penghasilan barangan sendiri secara berterusan.
Katanya, kerajaan dalam masa yang sama perlu memberi fokus bagi merangsang pengeluaran domestik dan menggalakkan pelaburan kepada pengeluar tempatan.
“Kita sudah sering ingatkan agar fokus untuk pastikan kerajaan memberi sokongan usahawan tempatan yang menghasilkan produk sendiri. Paling penting, mereka boleh menghasilkan produk yang sebelum ini kita import.
“Sebab itu kita perlu ada strategi dan dasar yang jelas sama ada untuk jangka masa panjang atau pendek,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seluruh jabatan kerajaan diarah agar tidak menggunakan barangan import terutamanya berkaitan makanan dalam semua acara rasmi.
Sebaliknya jabatan kerajaan disaran menggunakan produk tempatan sebagai usaha menyokong petani mengeluar dan memasarkan produk mereka selain menyokong ekonomi negara.
Dalam pada itu, Ahmad Yazid berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada produk keluaran bumiputera tempatan sebagaimana yang pernah ditegaskan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera.
“Saya tidak tahu mengapa ia belum dilaksanakan. Kerajaan perlu lihat balik perkara ini untuk memberi keutamaan kepada barangan Bumiputera terlebih dahulu.
“Ia sebagai sebahagian langkah untuk memastikan ekonomi masyarakat bumiputera boleh maju dan berdaya saing,” jelasnya.









