PUTRAJAYA: Guinea-Bissau mahu belajar daripada pengalaman Malaysia yang disifatkan sebagai negara peneraju dalam bidang pendidikan dan industri.
Presidennya, Jeneral Umaro Sissoco Embaló berkata, Malaysia bukan sahaja memainkan peranan penting di rantau Asia Tenggara, malah di peringkat global, dan dianggap sebagai sebuah negara contoh yang berjaya membangunkan kapasiti rakyat dan ekonominya.
“Saya yakin lawatan ini akan berjaya dan saya benar-benar berharap begitu. Kami tahu Malaysia adalah negara yang memimpin dalam banyak bidang, dan kami berbangga dengan kejayaan itu kerana kita ibarat saudara.
“Justeru, hubungan antara kita seharusnya berlangsung dalam suasana mesra dan mudah,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Terdahulu, Embalo Jeneral Umaro Sissoco Embalo diberi sambutan rasmi negara dalam lawatan pertamanya ke Malaysia.
Beliau kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai oleh Mejar Mohamad Waqiyudin Abd. Rahman.
Dalam pada itu, Embalo turut menyatakan komitmen untuk memastikan segala perkara yang telah dipersetujui dalam pertemuan bersama Malaysia dapat dilaksanakan dengan segera.
Katanya, Guinea-Bissau mahu menjadikan Malaysia sebagai rakan strategik utama di Afrika, dan percaya Malaysia mampu memainkan peranan lebih besar bukan sahaja di rantau Asia, malah di peringkat global.
“Malaysia boleh menjadi kunci hubungan kami dengan dunia. Apabila kita mula berhubung dengan saudara-saudara kita, itulah saat kita benar-benar saling memahami dan bekerjasama,” katanya.
Katanya, beliau sendiri akan terus berhubung dengan Perdana Menteri Malaysia dan telah mengarahkan Setiausaha Negara Guinea-Bissau untuk bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan di Malaysia.
“Kami akan pantau rapat pelaksanaan ini kerana kami merasakan hubungan ini sangat penting dan dekat di hati kami,” ujarnya. – UTUSAN