PETALING JAYA: Ketika umat Islam seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha dengan mengorbankan haiwan ternakan seperti kambing, lembu, kerbau dan unta, di Gaza antara 80 hingga 100 orang rakyatnya terkorban setiap hari akibat kezaliman Israel.
Begitulah sambutan Aidiladha di Gaza yang hampir setiap jam kedengaran letupan bom, tembakan dan kematian tidak berhenti sejak 7 Oktober 2023.
Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Gaza, Ahmed Abu Ayesh berkata, sebelum kezaliman Israel memuncak di sana, penduduk kebiasaanya akan solat berjemaah di masjid.
Katanya, sambutan Aidiladha diteruskan dengan ibadah korban secara bergotong-royong dan kembali ke rumah masing-masing dengan persiapan untuk menyambut kehadiran sanak-saudara dan jiran tetangga.
“Seluruh pelosok wilayah ini akan berbau aroma darah ternakan korban, daging bakar, kebab dari setiap restoran atau rumah penduduk. Masing-masing akan berpakaian putih berjalan rumah ke rumah untuk berkongsikan daging korban.
“Namun Aidiladha kali ini, korban masih berlaku dan tidak berhenti walaupun selepas berakhirnya perayaan. Bau darah dan daging terbakar masih meliputi seluruh wilayah.
“Bezanya, korban itu bukan ternakan, sebaliknya darah dan daging anak-anak Gaza yang rentung dibunuh kejam tanpa henti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmed berkata, jasad anak-anak yang hancur akibat bedilan bom bertaburan di jalanan akan dikutip dan dimasukkan ke dalam plastik sampah kerana beg untuk menempatkan mayat sudah habis.
“Pada pagi sambutan perayaan, sebuah keluarga terbakar hidup-hidup dalam khemah tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal. Jasad mereka rentung tidak seperti daging korban yang dibakar.
“Jika umat Islam lain kini sedang menunaikan ibadah haji dengan berpakaian putih, jasad anak-anak kami tidak bernyawa diletakkan dalam beg putih untuk dikebumikan,” katanya.
Katanya, lebih dua juta rakyat Gaza berdepan kebuluran, bahkan dirinya sendiri sedang kelaparan akibat tindakan kejam Zionis menyekat bantuan kemanusiaan sejak lebih dua bulan lalu.
“Anak-anak kami menangis kerana kelaparan, isteri-isteri kami memasak makanan tetapi bukanlah untuk kenyang hanya sekadar mengisi perut manakala lelaki-lelaki berkeliaran mengais runtuhan bangunan demi mencari secebis sisa roti,” katanya.
Pada hari pertama Aidiladha, sekurang-kurangnya lapan orang awam terbunuh, 61 cedera akibat tembakan tentera Israel di Rafah. – UTUSAN