BESUT: Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dikatakan terselamat daripada nahas yang meragut 15 nyawa rakannya selepas ditahan di wad Hospital Jertih, di sini kerana demam.
Menerusi satu perkongsian dalam media sosial, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Are Da Mat Nuar berkata, adiknya dimasukkan ke hospital dipercayai akibat jangkitan Leptospirosis sehari sebelum kejadian.
Katanya, mengikut perancangan, adiknya sepatutnya turut menaiki bas tersebut namun disebabkan masalah kesihatan dihadapi, dia terpaksa menangguhkan kepulangannya ke UPSI.
“Adik saya salah seorang dari pelajar UPSI yang sepatutnya naik bas ini tetapi tengah hari kelmarin dia masuk wad di Hospital Jertih sebab demam. Doktor suspek jangkitan air kencing tikus.
“Semoga dipermudah urusan semua,” tulisnya dalam ruangan komen di satu hantaran berkaitan kemalangan berkenaan hari ini.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang menyifatkan kejadian itu sebagai ujian dan takdir yang menyelamatkan pelajar terbabit daripada tragedi menyayat hati itu.
Terdahulu, sebuah bas persiaran yang membawa pelajar UPSI, dipercayai terbabas dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi ini.
Dalam kejadian tersebut, seramai 15 pelajar disahkan maut manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Gerik.
Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Besut ke Tajung Malim, Perak. – UTUSAN