KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim, tidak mengetahui isterinya, Siti Khalizah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis.
Bingung dengan keadaan itu, Fikry atau Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 31, menegaskan hubungannya dengan isteri berada dalam keadaan baik sejak berkahwin Februari lalu.
“Saya tak tahu, isteri saya okay saja dengan saya. Saya memang tak tahu apa-apa,” katanya ringkas memetik laporan portal Gempak.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Siti Khalizah, Wan Muhammad Afiq Mohd Razib, berkata surat saman sudah diserahkan pihaknya kepada pelakon Kau Yang Pertama itu beberapa hari sebelum prosiding.
“Surat saman, pihak kami telah serahkan pada pihak defendan. Pihak defendan yang sendiri menerima surat saman tersebut,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Afiq turut memaklumkan, punca anak guamnya menuntut perceraian adalah disebabkan tiada persefahaman.
“Hari ini adalah sebutan hari pertama, namun defendan (Fikry) tidak hadir dan mahkamah menetap satu tarikh baharu untuk kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk berdamai. Prosiding seterusnya adalah pada 10 September 2025.
“Saya hanya boleh maklumkan punca perceraian adalah tiada kesefahaman. Pihak defendan sudah terima surat permohonan cerai daripada pihak kami,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Afiq lagi, Khalizah tidak menutup ruang berbincang bagi mencari jalan keluar menyelamatkan perkahwinan.
“Khalizah menfailkan cerai sekitar Mei. Buat masa ini, Khalizah masih mahu berbincang untuk berdamai, masih mahu beri ruang untuk pendamaian,” katanya.
Sebelum ini, Fikry dan Khalizah selamat melangsungkan perkahwinan secara rahsia pada 12 Februari di sebuah masjid di Jitra. Kedah. -UTUSAN