KUALA LUMPUR: Pelakon, Fauzi Nawawi, mendakwa ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja menabur fitnah mengatakan perkahwinan yang dibina bersama selebriti, Lisdawati sudah di ambang perceraian.
Menurut Fauzi atau Muhammad Fauzi Mohd Nawawi, 52, khabar angin ini sudah lama bertebaran di media sosial sejak mereka mendirikan rumah tangga 19 tahun lalu.
“Hubungan kami tiada masalah lain kecuali setiap tiga atau empat bulan mesti akan timbul fitnah di media sosial kononnya hubungan kami suami isteri mula renggang dan menuju perceraian. Selalunya akan timbul dahulu di Facebook sebelum merebak ke platform lain.
“Sampaikan saya kena buat penjelasan. Kadang setahun sampai dua kali saya kena hadap spekulasi yang tidak tahu dari mana timbulnya ini. Tapi bagi saya, itu semua hanyalah asam garam hidup. Bila kita terlampau lama berdiam, akan timbul berita pelik-pelik orang akan uar-uarkan,” katanya.
Fauzi ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan episod akhir drama Viu, Lambaian Huda di Pavillion Kuala Lumpur, semalam.
Walaupun pelakon Polis Evo 3 itu pernah terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pelaku, namun hasrat itu dibatalkan kerana enggan isu ini menular lebih besar.
“Memang ada terfikir mahu ambil tindakan undang-undang. Tapi saya kira isu ini terlalu remeh dan rumit sebab kita perlu selidik orang yang lakukan.
“Lagipula, kita buang banyak masa dan wang untuk naik turun mahkamah. Jadi apa yang kami mampu buat adalah menafikan sahaja berita tersebut,” tambahnya.
Bercerita mengenai petua menghadapi badai rumah tangga, Fauzi dan isteri mempunyai prinsip yang sama iaitu saling menjaga rahsia dan tidak membuka pekung masing-masing kepada umum.
“Ujian kami sangat banyak, cuma apa yang buat saya kekal sampai hari ini adalah sikap meletakkan kepercayaan kepada pasangan. Kami tak percayakan cakap sesiapa. Kami sangat simpan privasi dan rahsia rumah tangga kerana itulah kunci kebahagiaan.
“Jika bergaduh, jangan muat naik di media sosial atau bercerita dengan sesiapa. Lebih baik masalah dalam kain selesaikan dalam kain sendiri, jangan sampai apa dalam kain kita buka kepada umum.
“Sedangkan waktu akad nikah kita sudah berjanji akan sehidup semati dengan pasangan. Jadi tak perlu ada pihak ketiga sebagai penasihat. Jika suami dan isteri sudah buat keputusan berkongsi hidup, maksudnya mereka kena berani dan kuat selesaikan masalah yang datang,” jelasnya.
Untuk rekod, Fauzi dan Lisdawati sah bergelar suami isteri pada 9 September 2007.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, Nur Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus, dan Ahmad Nur Fayyadh.
Lisdawati juga mempunyai empat anak tiri menerusi perkahwinan terdahulu Fauzi iaitu Nurul Hainil Fatihah, Fareez Hazwan, Nurul Hana Farisya, dan Mohd. Fikri Hakimi. -UTUSAN