PUTRAJAYA: Muzakarah Isu-Isu Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Maqasid Syariah mencadangkan agar penggubalan fatwa berkaitan isu bayi dan kanak-kanak terdampar (al-laqit) dilaksanakan secara lebih terperinci bagi menjelaskan situasi tersebut kepada masyarakat.
Sebanyak empat resolusi digariskan menerusi muzakarah tersebut yang dibacakan oleh Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
Cadangan yang dibawa muzakarah supaya isu al-laqit mendapat perhatian serius daripada pihak pemerintah bagi memastikan aspek penjagaan, kebajikan, perlindungan dan keselamatan golongan itu sentiasa terjamin sehingga mereka mencapai usia dewasa dan mampu berdikari.
“Fenomena bayi dan kanak-kanak terdampar sentiasa berlaku dalam pelbagai tempat dan situasi di negara ini. Atas dasar menjaga nyawa, akal dan maruah manusia, maka tanggungjawab adalah terletak di bahu pemerintah,” menurut resolusi itu dalam muzakarah berkenaan di sini hari ini.
Isu bayi dan anak-anak terdampar atau al-laqit merupakan resolusi kedua yang digariskan oleh Suhakam dalam sesi tersebut iaitu merujuk kepada bayi atau kanak-kanak yang dijumpai terbiar atau ditinggalkan tanpa diketahui asal usulnya, termasuk siapa ibu bapa atau penjaganya.
Biasanya mereka ditemui di tempat awam seperti tepi jalan, masjid, hospital, atau kawasan terpencil, tanpa sebarang identiti dan tanpa penjaga yang sah.
Selain itu, muzakarah berkenaan turut menyokong usaha menetapkan umur minimum perkahwinan pada 18 tahun ke atas, selari dengan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989 (CRC).
Bagaimanapun, satu mekanisme menyeluruh perlu diwujudkan bagi menyantuni kes-kes khas melibatkan perkahwinan bawah umur bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.
Antara resolusi lain yang turut dicapai termasuk cadangan agar kerajaan melaksanakan kajian mendalam berkaitan keberkesanan hukuman alternatif yang berpaksikan pendekatan pemulihan.
“Usaha ke arah hukuman yang lebih berperikemanusiaan perlu diperkukuh tanpa menjejaskan keadilan kepada mangsa, sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah dan nilai rahmah,” menurut resolusi itu.
Dalam isu berkaitan pelarian, muzakarah turut menegaskan keperluan mempercepatkan penstrukturan semula undang-undang bagi memastikan akses yang lebih baik kepada perlindungan, keselamatan, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan hak berkeluarga untuk golongan tersebut. – UTUSAN