KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amira Othman mengakui aktor, Fattah Amin adalah antara kawan lelaki yang paling rapat dengannya setakat ini selepas kerap dilihat bersama.
Tegas Amira, hubungannya bersama Fattah hanyalah sekadar rakan sekerja selain mengakui keakraban mereka kini semakin menjadi tumpuan kerana terkena tempias populariti pelakon lelaki itu.
“Jika dalam industri, saya ada sahaja kawan lelaki lain yang rapat cuma mungkin tidak ramai. Fattah antara kawan lelaki yang saya rapat buat masa ini.
“Jika ditanya sejauh mana status hubungan kami, apa yang saya boleh katakan pun memang sekadar rakan seperjuangan.
“Mungkin kerana dia adalah Fattah Amin, peminatnya juga ramai. Jadi saya pun terkenalah tempiasnya jika dia memuat naik sebarang perkongsian,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Dalam Sujudku, semalam.
Dalam masa sama, Amira turut mengakui dirinya ada menerima jambakan bunga daripada rakan sekerjanya itu ketika ditahan di hospital selama lima hari akibat keracunan makanan dan mengalami tekanan darah rendah, baru-baru ini.
Bagaimanapun, penyanyi itu tidak mengetahui niat Fattah yang spontan memuat naik fotonya di Instagram selain mendoakan agar dirinya cepat sembuh.
“Betul, saya mengakui rakan sekerja (Fattah) ada bagi saya bunga. Tetapi saya ada menerima bunga daripada orang lain juga seperti klien. Biasalah, kalau orang datang melawat mesti bagi bunga.
“Berkenaan perkongsian dia di Instagram tempoh hari itu mungkin boleh tanya tuan badan sendiri kenapa dia buat begitu.
“Tapi, seperti apa yang Fattah tulis di kapsyen ‘semoga cepat sembuh rakan sekerja’. Jadi, perkara yang baik kita doakan,” jelasnya.
Berkongsi mengenai keadaannya yang terkini, Amira memberitahu kesihatannya sudah beransur pulih meskipun masih perlu memantau tekanan darahnya.
“Alhamdulillah, saya sudah semakin sembuh cuma doktor sarankan saya untuk pantau tekanan darah. Keracunan makanan yang berlaku sebelum ini membuatkan saya dehidrasi sehingga menyebabkan tekanan darah rendah.
“Jadi saya perlu mengambil makanan yang berkhasiat yang boleh membantu untuk naikkan darah. Suka saya ingatkan keracunan makanan ini boleh menjadi lebih serius. Jadi saya sarankan segera ke hospital jika ada sebarang gejala,” ujarnya.-UTUSAN