Fasha Sandha terima anugerah Pingat Jasa Baik - Utusan Malaysia

Fasha Sandha terima anugerah Pingat Jasa Baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Fasha Sandha berkongsi momen indah selepas dipilih sebagai penerima Pingat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis, semalam.

Meraih Pingat Jasa Baik (PJB), anugerah itu diberikan kepada pelakon itu sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis.

Menurut pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan, 41, dia bersyukur atas penganugerahan tersebut selain menzahirkan terima kasih kepada keluarga dan peminat yang sentiasa mendoakan kejayaannya.

“Memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana di atas keizinan dan kurniaan-Nya. Saya adalah anak kelahiran Johor Bahru dan dibesarkan di Perlis selama 12 tahun.

“Hari ini adalah hari bersejarah buat saya atas anugerah dihadiahkan Istana Perlis Indera Kayangan di Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Dan Pingat Negeri Perlis Kali ke-2 sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-82, Duli Yang Maha Mulia uanku Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail.

“Terima kasih suami tercinta, mama, anak-anak, keluarga dan peminat yang sentiasa mendoakan kejayaanku,” katanya.

Tetap merendah diri dan mengakui kelemahannya, pelakon drama bersiri Dzikir itu menyifatkan penganugerahan tersebut adalah pembakar semangat untuk dirinya menjadi insan yang lebih baik.

“Menjunjung kasih Tuanku di atas PJB ini. Patik ini banyak kelemahan dan kekurangannya berbanding kelebihan.

“Insya-Allah anugerah ini patik jadikan sebagai penyuntik semangat untuk menjadi insan lebih baik,” ujarnya lagi.

Fasha yang dilihat polos mengenakan busana pertunangannya tujuh tahun lalu yang berona ungu itu turut ditemani suaminya, Aidil Aziz ketika menerima pingat penganugerahan tersebut.

Lebih istimewa, penampilannya dilengkapi dengan sepasang kasut tumit tinggi hadiah daripada suami tercinta.

“Pakai baju lama, baju masa tunang. Nasib ada baju 2018 Rizman Ruzaini.

“Selendang dari Rumah Kebaya Bangsar dan kasut hadiah daripada suami tercinta, saya cinta awak, suami,” jelasnya.

Selain Fasha, pelakon Rita Rudaini dan Ezany Nizariff antara selebriti yang menerima PJB di Istana Arau, Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN