MELAKA: Fasa kedua pengeluaran Beras Melaka dijangka berada di pasaran bermula Julai ini selepas sambutan menggalakkan diterima ketika pengeluaran fasa pertama sebelum ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Nor Azhar Abdul Hamid berkata, pengeluaran kali ini menyasarkan jumlah jualan sekitar 4,000 kampit, seperti fasa pertama.
Menurut beliau, Beras Melaka akan dipasarkan menerusi outlet peruncitan milik FAMA bagi memastikan akses mudah kepada pengguna.
“Beras Melaka sebelum ini mencatatkan jualan sebanyak 4,000 kampit. Bagi fasa kedua, kita sasarkan jumlah yang sama dan akan mula dijual Julai nanti di outlet–outlet peruncitan FAMA.
“Namun begitu, pengeluaran ini masih bergantung kepada musim menuai padi kerana sumber utama beras ini adalah hasil tanaman tempatan,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Khas Semarak Aidiladha Peringkat Negeri yang berlangsung di Pasar Tani Jasin di sini, hari ini.
Pada program berkenaan, FAMA menawarkan jualan daging lembu segar pada harga RM25 sekilogram berbanding harga pasaran biasa RM38 sekilogram.
Tambah Nor Azhar, pihaknya yakin pengeluaran dan jualan Beras Melaka dapat dipertingkatkan pada masa akan datang bergantung kepada peluasan kawasan penanaman padi di negeri ini.
Katanya, usaha berterusan sedang dilaksanakan bagi meningkatkan hasil padi tempatan, sekali gus menjadikan Beras Melaka sebagai produk agromakanan beridentiti negeri. – UTUSAN