KUALA LUMPUR: Selepas kalah merebut kerusi Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengisytiharkan mahu menentangnya sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak itu mencabar Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya merancang bertanding di kawasan sama.
Bekas Menteri Besar Perak itu tidak gentar berdepan risiko atau tewas buat kali kedua di tangan Anwar, kerana percaya PRU16 akan membuka ruang dan peluang cerah untuknya menjadi Ahli Parlimen Tambun sekali lagi.
Beliau turut mencabar jika Anwar benar-benar berani menyahut cabaran itu.
“Saya dengan ini mengisytiharkan dan akan menentang Anwar di Parlimen Tambun dan saya mencabar Anwar untuk kekal bertanding di Tambun.
“Kalau hang (anda) berani, mai (mari sini),” katanya dalam nada berseloroh kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pada November 2022, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menang dengan memperoleh 49,655 undi (3,716 majoriti) menewaskan Ahmad Faizal sebagai penyandang kerusi dan pencabar utama (45,939).
Anwar sebelum ini mahu menjadikan Perak sebagai negeri barisan hadapan bagi PH.
Ia bagi memastikan Perak mengekori kejayaan gabungan itu di Selangor dan Pulau Pinang yang berjaya dipertahankan mereka dengan majoriti semakin kukuh dalam beberapa PRU sebelum ini.
Tahun lalu, terdapat laporan Anwar memberi jaminan PH akan tetap bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang. – UTUSAN