SUNGAI PETANI: Pengeluar produk penjagaan diri, Kumpulan Syarikat EMZI memperkenalkan tiga produk minuman ikonik mereka di bawah jenama EMZI Care yang berwajah baharu sejak Ramadan lalu sebagai usaha berterusan dalam inovasi dan penjenamaan semula.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat EMZI, Mohammad Faizal Zainon berkata, ketiga-tiga produk iaitu NeOlive Tin, Kopi Ala Kazim dan Teh Tarik Mahmudi turut tampil dengan formulasi yang dipertingkatkan serta pembungkusan lebih segar.
Menurutnya, kitaran hayat produk-produk telah mencapai tahap kematangan, menjadikan kini masa paling sesuai untuk mengemas kini dan menambah baik penampilan serta formulasi produk kepada pengguna.
“Ini lebih daripada sekadar menaik taraf pembungkusan kerana ianya adalah pembaharuan produk secara menyeluruh. Kami telah memperbaiki formulasi, memperkenal pek 10+1 sachet yang lebih praktikal dan rekabentuk semula pembungkusan untuk disesuaikan dengan gaya hidup moden dan berorientasikan kesihatan masa kini,” katanya.
Katanya, formulasi baharu yang dipertingkat merupakan hasil inovasi serta kepakaran bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) EMZI diterajui EMZI Nano Core Lab dan rekaan pembungkusan pula dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan kreatif dalaman.
“Antara pembaharuan NeOlive Tin adalah dalam kotak elegan 10+1 sachet, memudahkan penggunaan harian serta praktikal untuk dibawa ke mana-mana. Produk ini diperbuat daripada buah zaitun dan buah tin yang disebut dalam al-Quran dan menampilkan Ustaz Elyas Ismail sebagai duta. Ia disahkan halal oleh Jakim dan pengeluarannya menepati piawaian HACCP dan GMP,” katanya.
Bagi Kopi Ala Kazim yang dikolaborasi bersama Datuk Ustaz Kazim Elias, ia didatangkan dengan saiz pek baharu 10+1 sachet serta formulasi yang dioptimumkan serta menggabungkan biji kopi Robusta dan Arabica bersama susu kambing dan ekstrak peria katak untuk rasa dan manfaat yang lebih baik.
“Sementara Teh Tarik Mahmudi yang diinspirasikan oleh Ustaz Jaffri Abu Bakar Mahmoodi, kini dengan rekaan sachet bercetak baharu dan gabungan hebat teh Ceylon, Moringa, Hempedu Bumi, Sacha Inchi dan susu kambing,” ujarnya.
Kata beliau, ramai pelanggan memberi maklum balas awal yang memberangsangkan terutama disebabkan tambahan sachet, rekaan moden yang segar, lebih praktikal untuk dibawa ke mana-mana serta rasa yang lebih baik.
“Ini bukti komitmen kami untuk mengekalkan kualiti dan menerajui dalam penjenamaan moden. Produk ini boleh didapati melalui pelbagai saluran dalam talian selain tersedia di EMZI Care Outlet di Menara Kompleks SP Plaza, Sungai Petani,” katanya. – UTUSAN