Empat daerah di Kedah terjejas ribut, 11 laporan pokok tumbang - Utusan Malaysia

Empat daerah di Kedah terjejas ribut, 11 laporan pokok tumbang

KEJADIAN pokok tumbang di KM60.8 arah utara dari Pendang ke Alor Setar akibat ribut di Lebuhraya Utara Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Empat daerah di negeri ini dilanda ribut menyebabkan kerosakan teruk terutama pada bahagian bumbung rumah selain kejadian pokok tumbang yang turut menjejaskan aliran trafik, malam tadi.

Antara daerah terjejas dalam kejadian bermula pukul 8.50 malam itu adalah Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Padang Terap. 

Angin kencang disusuli hujan itu turut menyebabkan beberapa pokok tumbang, termasuk di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gurun dan Jitra, mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk. 

Salah satu lokasi terjejas adalah Kilometer (KM) 60.8 arah utara dari Pendang ke Alor Setar yang mengakibatkan puluhan kereta terperangkap. 

 Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah memaklumkan, terdapat 11 laporan pokok tumbang diterima pihaknya melibatkan pelbagai daerah.

Katanya, antara lokasi terlibat adalah di Jalan Derang, Pokok Sena; Kampung Selekoh dan Jalan Sungai Limau di Yan; Jalan Batas Baru Sungai Limau di Guar Chempedak; Jalan Batu Hampar di Pendang serta Kampung Berona dan Kampung Padang Pulut di Sik.

“Turut mengalami kejadian sama adalah Kampung Tandop Pisang di Baling dan tiga lokasi lagi di Alor Setar. Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Tokai, Pendang, Habsah Ali, 60, berkata, kejadian itu merupakan antara yang paling mencemaskan pernah dialaminya.

“Angin kuat macam nak tercabut pokok dan ia berlarutan hampir sejam. Kami enam beranak cemas, hanya mampu berdoa semoga tiada perkara buruk berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan kejadian ribut petir berkemungkinan berterusan sepanjang minggu ini, terutama pada sebelah petang di kawasan pedalaman Kedah sehingga Sabtu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN