Dua polis rompak ahli perniagaan disebat, penjara 12 tahun

Dua polis rompak ahli perniagaan disebat, penjara 12 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis berpangkat Koperal dihukum penjara 12 tahun dan sebat lima kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merompak wang RM1.1 juta milik seorang ahli perniagaan, empat tahun lalu.

Turut dikenakan hukuman sama ialah dua kenalan mereka yang turut disabitkan dengan kesalahan yang sama.

Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Koperal Hasrol Irmey Abu Hasim, 36, dan Koperal Muhammad Helmi Jamaluddin, 34, serta  Amir Moktar, 47, dan Mohd Ridhwan Azman, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

“Sehubungan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan ke atas empat tertuduh. Hukuman penjara bermula hari ini,” kata hakim itu.

Mahkamah turut memerintahkan peguam bela, Nur Azimul Azami Mohamad Nor yang mewakili kesemua tertuduh untuk memfailkan permohonan rasmi untuk penangguhan pelaksanaan hukuman itu. Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Seramai 35 saksi pendakwaan memberi keterangan manakala saksi pembelaan hanya membabitkan keempat-empat tertuduh yang membela diri secara bersumpah pada perbicaraan yang bermula Julai 2023.

Mengikut pertuduhan, Hasrol Irmey, Muhammad Helmi, Amir dan Mohd. Ridhwan didakwa dengan niat bersama melakukan rompakan berkumpulan wang tunai berjumlah RM1,130,000 dengan bersenjatakan pistol ke atas seorang lelaki berumur 26 tahun di tempat letak kereta sebuah bangunan di Jalan Chan Sow Lin di sini, pada 1.30 petang, 14 Disember 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN