GEORGE TOWN: Gara-gara terpedaya dengan pulangan lumayan yang ditawarkan oleh pelaburan dalam talian, dua lelaki terpaksa ‘berputih mata’ apabila kerugian lebih RM2 juta dalam dua kes berasingan di sini, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kes pertama melibatkan seorang pesara akauntan di sebuah kilang yang berusia 73 tahun.
Beliau berkata, mangsa mendakwa telah diperdaya dalam satu kes penipuan pelaburan mata wang kripto dalam talian melalui platform atau aplikasi khas yang dikenali sebagai Gexertmat Exchange melibatkan kerugian berjumlah RM855,001.
Katanya, selepas memuat turun dan mendaftar sebagai ahli dalam aplikasi tersebut, mangsa kemudian telah membuat 14 transaksi kemasukan wang ke dalam lima akaun bank milik syarikat yang berbeza antara 15 April hingga 11 Jun yang lalu.
“Mangsa bagaimanapun menyedari dirinya menjadi mangsa selepas tidak menerima sebarang pulangan keuntungan seperti yang dijanjikan sebelum tampil membuat laporan polis mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, satu lagi kes melibatkan seorang ejen insurans yang turut menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian melibatkan kerugian berjumlah RM1,495,176.
Jelas Hamzah, mangsa yang berusia 57 tahun itu juga dikatakan telah memuat turun satu aplikasi yang dikenali sebagai XGI Horizon dan mendaftar sebagai ahli.
“Dia membuat pelaburan pertama iaitu pindahan wang sebanyak RM9,999 pada 30 Disember tahun lepas dan dalam masa yang singkat, mangsa kemudian memperoleh keuntungan sebanyak RM18,400.
“Oleh kerana yakin pelaburan berkenaan akan terus memberikan pulangan yang lumayan, mangsa seterusnya telah membuat 35 transaksi pindahan wang antara 17 Februari hingga 24 April lalu ke dalam tujuh akaun bank milik syarikat yang berbeza.
“Mangsa bagaimanapun sedar bahawa dia telah diperdaya apabila tidak dapat membuat pengeluaran keuntungan seperti yang dinyatakan dalam aplikasi terbabit, sebaliknya diminta untuk membuat bayaran tambahan sebagai syarat pengeluaran,” katanya yang memberitahu, satu laporan polis kemudian telah dibuat berhubung kes berkenaan.
Tambah Hamzah, kedua-dua kes itu kini sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN