PETALING JAYA: Dua kejadian tembak yang berlaku dalam tempoh empat hari di sekitar ibu negara dipercayai akibat perseteruan antara suspek dan mangsa.
Berdasarkan siasatan awal polis, kejadian tembak membabitkan dua lelaki di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras di sini tengah malam tadi, dipercayai akibat aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak.
Manakala kejadian tembak yang berlaku di Brickfields dekat sini Jumaat lalu pula dipercayai akibat daripada konflik aktiviti jenayah yang berlaku di Selangor.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, masyarakat di sekitar ibu negara tidak perlu bimbang dengan keselamatan dan ketenteraman awam di ibu negara walaupun berlaku dua kejadian tembak dalam empat hari.
“Ingin saya tegaskan bahawa semua kes-kes jenayah tembak yang berlaku ini adalah akibat masalah yang berlaku di luar kontinjen Kuala Lumpur dan dibawa ke sini.
“Seperti kes tembak di Cheras, tengah malam tadi, kedua-dua suspek yang didapati mempunyai rekod jenayah baru tiba dari Sibu, Sarawak, dan datang ke mari (Kuala Lumpur) atas urusan peribadi.
“Berkemungkinan, pada masa sama mereka ini sememangnya diekori oleh seteru atau pihak yang tidak berpuas hati atau mempunyai dendam sebelum mencari masa dan waktu sesuai untuk menembak mati mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rusdi berkata, semakan mendapati kedua-dua mangsa mempunyai rekod jenayah dan disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan di Sarawak serta kejadian pembunuhan.
Beliau berkata, kes tembak membabitkan kematian seorang lelaki dan mencederakan dua lagi individu di Brickfields, Jumaat lalu, turut dilaporkan membabitkan perseteruan antara mangsa dan musuhnya di Selangor.
“Kes ini membabitkan masalah di Selangor, namun musuh mereka mencari masa yang sesuai untuk menembak mati mangsa ketika dia berada di restoran di Jalan Tun Sambathan, di sini.
“Malah mangsa yang ditembak juga didapati datang ke restoran berkenaan selepas dia dibebaskan dari tahanan reman akibat kes di Selangor,” katanya.
Menurutnya, pihak polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited melaksanakan siasatan bagi menghadapkan mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Jelas beliau, pihaknya sedang mengenalpasti suspek terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Saya berharap masyarakat akan terus bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan pihak Polis Kuala Lumpur dalam membanteras sebarang aktiviti jenayah serta sebarang pelakuan yang boleh memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam. – UTUSAN