‘Dilabel penyondol ketika berniaga, perkataan itu sangat menyakitkan’ - Utusan Malaysia

‘Dilabel penyondol ketika berniaga, perkataan itu sangat menyakitkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin mendedahkan dirinya pernah berdepan dengan pelbagai tohmahan daripada netizen selepas membuat keputusan untuk berkahwin sekali lagi.

Menurut Nora, tohmahan yang paling meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya apabila ada sesetengah netizen yang cuba mengaitkan kontroversi itu ketika dirinya mencari rezeki menerusi sesi siaran langsung.

“Saya tidak malu berniaga, kalau suatu hari saya perlu berniaga nasi lemak tepi jalan pun tidak mengapa.

“Sebelum ini saya aktif buat live untuk menjual pes masakan. Secara konsisten saya dapat jual 20 ke 30 pek satu hari. Bagi saya itu sudah cukup untuk menjana pendapatan.

“Tapi yang paling sedih adalah apabila kontroversi menghimpit saya dan banyak mulut yang mengata,” katanya menerusi sebuah sesi audio siar Hidup Ini Keras.

Gagal menahan sebak, penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu mengakui terkilan apabila ada pihak yang menggelarkan dirinya penyondol malah enggan membeli produk yang dijualnya gara-gara takut terkena tempias kontroversi.

“Suatu hari ketika saya buat live, ada yang komen ,’Ini pes penyondol tu ke? Saya tak nak beli, nanti kalau saya makan saya jadi penyondol’.

“Sakit sangat, saya dah tak nak buat live. Saya dah tak sanggup dan tak kuat. Perkataan itu sangat menyakitkan. Saya berhenti seketika dan ambil masa untuk saya buat live semula,” jelasnya.

Menerusi audio siar tersebut, Nora mengakui cemuhan itu jugalah menjadi asbab dirinya nekad mahu mengakhiri perkahwinannya bersama suami, Dr. Rushdi Ramli

“Itu juga antara sebab yang saya katakan kepada Rushdi, tak mengapalah mungkin ini sudah ketentuan Allah.

“Saya tak boleh untuk berterusan begini. Kita andaikan bahawa jodoh kita hanya setakat ini dan Allah lebih mengetahui. Saya minta ampun dan memohon untuk undur diri,” ujarnya.

Pada 21 April lalu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi memfailkan permohonan perceraian terhadap suami, Dr. Rushdi Ramli selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawai pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN