Dera anak, wanita dipenjara seminggu

Dera anak, wanita dipenjara seminggu

SITI Noor Hajar Abd. Manaf keluar daripada Mahkamah Majistret Shah Alam Selangor hari ini selepas didakwa atas pertuduhan mendera anaknya. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang wanita dijatuhi penjara selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret, di sini selepas mengaku bersalah mendera anaknya di Kampung Sri Puchong, Puchong, minggu lalu.

Tertuduh, Siti Noor Hajar Abd. Manaf, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama kekasihnya telah mendera anak perempuannya yang berumur 16 tahun dalam sebuah rumah di Kampung Sri Puchong pada pukul 12.43 tengah hari, 4 Jun lalu.

Ia selepas pengadu menerima satu rakaman video temubual di antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama mangsa dengan mangsa dalam video itu memaklumkan bahawa dia dipukul Siti Noor Hajar.

Susulan itu, sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah ke rumah Siti Noor Hajar kira-kira pukul 2 pagi pada keesokan harinya bagi melakukan tangkapan ke atasnya serta teman lelakinya.

Oleh itu. tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan terhadap ahli keluarga. Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada Siti Noor Hajar sebagai pengajaran tertuduh.

Namun peguam yang mewakili tertuduh, A. Puvanasvary memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap Siti Noor Hajar memandangkan dia adalah ibu tunggal.

“Tertuduh kini dalam proses perceraian dengan suaminya. Sudah beberapa bulan dia tidak bekerja setelah berhenti kerja akibat terkena serangan strok ringan, harap mahkamah hanya kenakan hukuman penjara dalam tempoh singkat kepada tertuduh,” kata Puvanasvary.

Muhammad Syafiq memutuskan hukuman penjara tujuh hari kepada tertuduh. Hukuman berkenaan berkuat kuasa daripada tarikh Siti Noor Hajar ditahan polis, iaitu bermula 5 Jun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN