SPRM syaki RM20 juta belanja berjudi, beli 300 botol alkohol mewah

Dana sukuk lebuh raya: SPRM syaki RM20 juta belanja berjudi, beli 300 botol alkohol mewah

TAN SRI AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyaki kira-kira RM20 juta dibelanjakan untuk aktiviti judi adalah hasil penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, transaksi itu dikesan melalui siasatan dijalankan pihaknya setakat ini malah kemungkinan wang yang dibelanjakan lebih daripada RM20 juta bagi aktiviti perjudian.

Katanya, turut ditemukan, sebanyak 300 botol minuman beralkohol mewah sebuah stor simpanan.

“SPRM masih mengesan aset di dalam negara dan luar negara untuk proses penyitaan.

“Setakat ini seramai 45 saksi sudah dirakam percakapan. Hasil semakan mendapati Tan Sri itu masih berada di dalam wad hospital swasta,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Media sebelum ini melaporkan SPRM sudah menyita aset dan membekukan akaun bank dengan nilai keseluruhan RM85.6 juta susulan siasatan membabitkan seorang Tan Sri berkaitan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Azam dilaporkan berkata, antara yang disita termasuk 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta dan kenderaan mewah bernilai RM7.65 juta.

Menurutnya, barangan lain disita adalah beg tangan bernilai RM3 juta, jam tangan mewah RM7 juta dan hartanah yang disita pula bernilai RM24.5 juta.

Bulan lalu, media melaporkan empat individu termasuk seorang Datuk Seri ditahan kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.

Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 50-an hingga 70-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

Keempat-empat suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.30 bilion antara 2016 hingga 2017.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN