Dadah: Tiga rakan terlepas hukuman gantung - Utusan Malaysia

Dadah: Tiga rakan terlepas hukuman gantung

TIGA lelaki terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis enam tahun lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga lelaki terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, enam tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd. Nazreen Hazim Abdullah Satar, 35; Mohd. Suhaimi Ahmad, 42, dan Muhammad Syafiq Shamsuddin, 38.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tiga rakan itu didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,145.5 gram di sebuah rumah di Taman Pinji Seni, Ipoh pada pukul 7.45 malam, 17 November 2019.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Dalam penghakimannya, Bhupindar Singh berpendapat, rantaian keterangan kesemua saksi pendakwaan berkaitan exhibit dadah didapati terputus selain terdapat keraguan berkaitan identiti dadah.

Menurut beliau, kegagalan mendedahkan nama pegawai forensik dan kegagalan memanggilnya sebagai saksi turut menyebabkan terdapat kelompongan pada kes pendakwaan.

“Selain itu, terdapat keraguan mengenai identiti barang kes apabila gambar yang diambil oleh SP5 (saksi pendakwaan kelima) menunjukkan kandungan dadah penuh dalam empat bekas plastik namun gambar yang diambil oleh SP2 sebelum analisa menunjukkan kandungan dadah tidak penuh.

“Tiada penjelasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan mengenai isu ini,” katanya.

Tambah beliau, perbezaan fizikal terhadap exhibit apabila terdapat kesan kotoran berbeza turut menimbulkan keraguan mengenai identiti barang kes.

Jelasnya, perbezaan itu hanya boleh dijelaskan oleh pegawai forensik yang tidak diketahui identitinya.

“Oleh sebab terdapat perbezaan ketara berat kasar dadah yang dirampas, pihak pendakwaan perlu memberi penjelasan mengenai perkara ini namun tiada penjelasan diberikan.

“Tambahan pula terdapat keraguan identiti dadah sebelum dianalisis, maka timbul keraguan sama ada dadah yang dirampas adalah dadah yang sama dianalisis,” katanya.

Tambah beliau, terdapat juga percanggahan dalam keterangan mengenai warna pen penanda antara hitam dan biru, akses kepada rumah tersebut serta kedudukan ketiga-tiga tertuduh ketika serbuan dibuat dan penyiasatan yang tidak lengkap oleh pegawai penyiasat.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil manakala peguam, Ranjit Singh mewakili Mohd. Nazreen dengan Mohd. Suhaimi dan Muhammad Syafiq masing-masing diwakili oleh Charan Singh dan V. Santhiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN