Dadah, jenayah siber dan pemerdagangan manusia jadi fokus AIPACODD ke-8 - Utusan Malaysia

Dadah, jenayah siber dan pemerdagangan manusia jadi fokus AIPACODD ke-8

JOHARI Abdul (tengah) merasmikan Mesyuarat Majlis Penasihat AIPA Mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) kelapan di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Isu penyalahgunaan dadah, jenayah siber dan perjudian secara dalam talian serta pemerdagangan manusia menjadi tumpuan utama dalam Mesyuarat Majlis Penasihat AIPA Mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) kelapan yang berlangsung di sini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ketiga-tiga isu tersebut merupakan cabaran utama di rantau ASEAN dan memerlukan pendekatan bersepadu oleh negara anggota.

“Tiga perkara ini saling berkait dan memerlukan tindakan kolektif untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Namun, dadah akan kekal sebagai fokus utama kerana ia bukan sahaja merosakkan individu, malah turut memusnahkan institusi keluarga dan masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat berkenaan yang dihadiri wakil Parlimen daripada 10 negara ASEAN termasuk Thailand, Vietnam, Kemboja, Singapura dan Indonesia.

Menurut Johari, pemerdagangan manusia turut menjadi isu kritikal kerana ia menjejaskan keselamatan negara serta mencemarkan imej di peringkat antarabangsa.

Katanya, mesyuarat kali ini turut mengangkat tema “Uniting Parliamentarians for an Inclusive and Sustainable ASEAN in Addressing Contemporary Drug Challenges” yang memberi penekanan terhadap usaha kolektif memerangi ancaman dadah yang semakin serius.

“Masalah dadah bukan sekadar jenayah, tetapi menjadi punca kepada pelbagai masalah sosial lain termasuk jenayah kekerasan dan kemerosotan nilai masyarakat.

“Kita tidak mahu ia menjadi normalisasi dalam masyarakat, tetapi perlu dilihat sebagai satu ancaman serius yang memerlukan tindakan tegas dan menyeluruh,” ujarnya.

Mengulas tentang hukuman gantung, Johari berkata, langkah itu sahaja tidak mencukupi untuk menangani masalah dadah secara tuntas, sebaliknya pendekatan lebih konstruktif seperti rawatan dan pemulihan juga perlu diberi perhatian.

“Penagih dadah ini mungkin juga pesakit, bukan semata-mata penjenayah. Maka, perundangan dan dasar harus digubal berdasarkan data dan pendekatan yang lebih menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN