Cuaca panas: Beri kelonggaran pakaian sekolah agama

Cuaca panas: Beri kelonggaran pakaian sekolah agama

MOHD. FARED MOHD. KHALID (tengah) menyaksikan agihan zakat Lembaga Tabung Haji kepada UTHM yang disampaikan Mustakim Mohamad (kiri) kepada Abdul Rashid Abdul Razzaq (dua dari kanan) pada majlis penutupan Karnival Mahabbah Komuniti MADANI di UTHM, Batu Pahat di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pelajar Sekolah Agama di negeri Johor akan diberikan kelonggaran berkaitan pemakaian sekiranya berlaku cuaca panas bagi memberikan keselesaan bagi menghadapi sesi pembelajaran sekiranya perlu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata tidak ada pertikaian untuk perlaksanaannya dan kerajaan negeri memberikan kuasa di peringkat daerah membenarkan pemakaian yang bersesuaian.

Katanya, sebelum ini negeri Johor juga pernah melaksanakannya dan seharusnya tidak ada pertikaian kalau arahan itu diulangi sekali lagi sekiranya diperlukan.

“Pemakaian ke sekolah dipermudahkan dengan pakaian yang longgar, sebab di Johor ini memang kena pakai baju Melayu, .jadi kadang-kadang ada keadaannya pakaian perlulah sesuai dengan cuaca.

“Arahan akan dibuat mengikut kesesuaian di daerah yang terlibat (cuaca panas),” katanya ditemui selepas perasmian penutup Karnival Mahabbah Komuniti MADANI, Peringkat Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad dan Pemangku Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Abdul Rashid Abdul Razzaq.

Sementara itu, mengenai aktiviti keagamaan yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat dan negeri, beliau memaklumkan hubungan erat antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kemajuan Islam Negeri (JAIN), membolehkan keseragaman aktiviti dilakukan dan pelaksanaannya dapat disesuaikan dengan budaya serta keadaan di sesebuah negeri, sekali gus diterima oleh warga tempatan.

Sementara itu, Sirajuddin Suhaimee berkata, pengajuran karnival Mahabbah Komuniti Madani selari dengan Pelan Trasformasi Al-Falah dalam usaha menyeluruh membendung masalah sosial, pada masa sama memastikan agenda Islam Mekar dipertahan dan terus dimartabatkan.

“Program yang menyemai nilai-nilai keinsafan, hormat-menghormati, nilai ihsan dan kasih sayang ini, mampu membina generasi yang berakhlak mulia, berfikiran terbuka dan bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN