GEORGE TOWN: Kes keracunan akibat penggunaan vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang mencatat peningkatan membimbangkan sejak tiga tahun lalu, dengan remaja menjadi golongan paling terkesan.
Pegawai Farmasi Perkhidmatan Maklumat Ubat dan Racun, Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd. Fadhli Razali berkata, sebanyak 17 kes keracunan atau 65 peratus dilaporkan pada 2022, meningkat kepada 27 kes (79 peratus) pada 2023 dan 26 kes (68 peratus) pada 2024.
Katanya, majoriti kes melibatkan produk dikenali sebagai ‘Magic Mushroom Vape’ yang mengakibatkan pelbagai gejala dialami mangsa termasuk sawan, pengsan, muntah, halusinasi, delusi serta perubahan tingkah laku mendadak.
“Ada kes menunjukkan kesan serius hanya selepas satu atau dua sedutan malah lebih membimbangkan, ada pesakit mengalami gangguan psikiatri serta tingkah laku berbahaya terhadap diri dan orang sekeliling,” katanya.
Kumpulan usia paling terkesan ialah remaja 15 hingga 19 tahun (41 peratus), diikuti golongan dewasa muda sekitar usia 20-an (53 peratus), sekali gus mencerminkan penularan krisis ini dalam kalangan generasi muda.
Mohd. Fadhli berkata, hasil analisis mendapati cecair vape mengandungi bahan dadah sintetik berbahaya yang mudah dimanipulasi dan sukar dikesan malah turut menerima 76 panggilan berkaitan kes keracunan vape dari 2020 hingga 2024.
Katnaya, vape menjadi medium baharu penyalahgunaan dadah dan remaja menjadi sasaran utama menerusi akses mudah di platform atas talian.
Beliau menyokong penuh pengharaman vape oleh beberapa kerajaan negeri dan menyeru tindakan lebih tegas serta kerjasama menyeluruh, selari dengan penguatkuasaan Akta 852 untuk membendung ancaman dadah generasi baharu. – UTUSAN