Cabaran kenderaan 4x4 di ladang kelapa sawit

Cabaran kenderaan 4×4 di ladang kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Penganjuran program acara lasak kenderaan pacuan empat roda di ladang-ladang sawit di tanah rancangan Felda mampu merangsang ekonomi penduduk setempat

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, impak itu yang diharapkannya menerusi penganjuran D’Palong Offroad Challenge 2025 di Felda Palong 6, di sini.

“Program ini pertama kali diadakan diadakan di kawasan Palong, ia memberi peluang kepada peminat kenderaan 4×4 merasai sendiri cabaran dan pengalaman laluan di ladang sawit di sini.

“Pertandingan ini bukan sahaja memperkembangkan lagi sukan permotoran tempatan malah memberi kesan kepada ekonomi penduduk setempat contohnya peserta boleh menginap di inap desa sekitar kawasan Felda Palong,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong itu berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa pihak untuk mengenal pasti beberapa lokasi baharu agar program tersebut dapat diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun.

“Saya berharap acara ini dapat dijadikan acara tahunan kerana kita masih mempunyai banyak lokasi lain di kawasan Felda Palong yang boleh diterokai serta lebih ramai peminat 4×4 dari seluruh negara akan mengambil bahagian pada penganjuran seterusnya,” katanya.

Katanya, sebanyak 60 buah kenderaan pacuan empat roda dari seluruh negara menyertai cara tersebut yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini.

Sementara itu, pengarah program, Muhd. Amin Abdul Hamid, 48 yang juga Pengerusi Kelab Pacuan Empat Roda Raja Bersiong berkata, penganjuran program itu bertujuan untuk menarik peserta dan keluarga mereka untuk merasai keseronokan serta cabaran sebenar sukan kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, program tersebut bukan sekadar perhimpunan kenderaan pacuan empat roda, malah menjadi medium mengeratkan hubungan komuniti sekaligus mempromosikan keunikan Felda Palong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN