Buruh mengaku tidak bersalah libas abang dengan sabit

Buruh mengaku tidak bersalah libas abang dengan sabit

GAMBAR HIASAN (MAHKAMAH)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membakar pondok rehat milik abangnya, mencederakan mangsa dengan sebilah sabit selain memiliki senjata tersebut dan pisau di Bachok dekat sini baru-baru ini.

Tertuduh, Mohd. Fazrul Izuan Mohamad, 36, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membakar pondok rehat milik abangnya, Mohamad Faizul Mohamad, 42, hingga menyebabkan kerosakan kira-kira pukul 4 petang di kawasan kebun pisang dan pokok kelapa di Kampung Chenda Gunong, Bachok dekat sini pada 27 April lalu.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Fazrul didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa yang sama dengan menggunakan sebilah pisau sabit di sebuah rumah di Kampung Bukit Chenda Gunong, Bachok dekat sini kira-kira pukul 12.10 malam pada 2 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda daripada tempoh 10 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa memiliki sebilah pisau sabit berukuran 22 sentimeter (cm) termasuk hulu yang dipegang di tangan kanan dan sebilah pisau dengan panjang 21.4 cm yang terselit di pinggang tanpa kebenaran yang sah.

Mohd. Fazrul dituduh mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin selain menetapkan 16 Julai untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN