KUALA TERENGGANU: Dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Besut, ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes buli pelajar di sekolah itu.
Perintah tahanna reman sehingga Isnin terhadap kedua-dua remaja berusia 15 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd. Roslan di Mahkamah Majistret di sini, bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, kedua-dua remaja itu ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam ketika hadir bersama keluarga di Ibu pejabat Polis Daerah Besut.
Katanya, setakat ini dua pelajar lelaki tingkatan dua di MRSM itu mendakwa menjadi mangsa buli beberapa pelajar senior dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam, pada 24 Jun lalu di asrama sekolah itu.
Azamuddin berkata, berdasarkan laporan mangsa yang pertama, dia diarahkan duduk dalam keadaan separa mencangkung dan diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar sehingga menyebabkan mangsa mengalami sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan.
Mangsa kedua pula mengalami kecederaan sakit di bahagian kaki kanan dan kiri.
Semalam, media melaporkan lima pelajar lelaki sekolah itu yang berusia 15 hingga 17 tahun turut ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan kes tersebut. – UTUSAN