PETALING JAYA: Teka-teki siapakah yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai Tiong Man masih menjadi persoalan apabila Penerbit Eksekutif Keluang Man, Raja Jastina Raja Arshad mengesahkan belum ada pelakon yang dipilih untuk membawa karakter itu.
Malah Jastina turut menafikan kononnya pihak Astro Show sepakat memilih pelakon, Naim Daniel, untuk menyandang karakter itu seperti yang disangka ramai.
“Kami masih belum membuat keputusan siapa yang akan memegang watak-watak dalam sekuel filem Keluang Man.
“Bila kami benar-benar pasti siapa yang akan memegang watak apa nanti, kami akan dengan gembiranya mengumumkan kepada semua.
“Jadi Naim Daniel bukan Tiong Man. Setidaknya dalam waktu sekarang,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Sementara itu, ujar Jastina, pihaknya masih dalam proses merangka jalan cerita bagi memastikan kelancaran plot untuk sambungan filem Keluang Man di masa hadapan.
“Apa yang anda lihat dalam filem Keluang Man, tidak semestinya seperti apa yang anda fikirkan. Segala kemungkinan boleh berlaku. Kena tunggu dan nantikan kesinambungannya,” jelasnya.
Sebelum ini, nama Naim Daniel disebut bakal menggalas tanggungjawab sebagai Tiong Man melihat kepada kemunculannya beberapa kali dalam filem itu.
Malah, penyanyi Sumpah itu juga memuat naik fotonya melukis simbol Keluang Man dengan kapsyen emoji burung menguatkan lagi anggapan. -UTUSAN