Bola sepak Perlis kembali mengaum

Bola sepak Perlis kembali mengaum

GSA FC kini dijenamakan sebagai Perlis GSA FC untuk beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bola sepak Perlis kembali mengaum selepas Perlis Guar Syed Alwi (GSA) FC mendapat ‘lampu hijau’ untuk beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro pada musim depan.

Pasukan itu yang dikenali sebagai GSA FC sebelum ini layak secara merit selepas menjuarai Liga A2 dan penampilan di ke Liga A1 bakal menghidupkan semula bola sepak Perlis.

Jika muncul selaku pencabar di Liga A1, tidak mustahil harapan untuk melihat pasukan dari Perlis kembali beraksi dalam Liga Super menjadi kenyataan pada musim akan datang.

Presiden Perlis GSA FC, Izizam Ibrahim berkata, pengesahan penyertaan ke Liga A1 itu telah dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Amatur (AFL).

IZIZAM IBRAHIM

Izizam yang juga Exco kerajaan negeri berkata, kerajaan negeri dan Menteri Besar sendiri berkemungkinan bakal mengumumkan inisiatif lain khususnya daripada segi bantuan.

“Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Saya boleh umumkan,]kita sah sudah masuk Liga A1. Insya-Allah selepas ini, kita akan usaha cari dan membuka peluang kepada mana-mana pihak ingin membantu pasukan ini,” katanya.

Sebanyak 12 pasukan akan mewarnai Liga A1 iaitu Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC, Kedah FA, Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Manakala tiga pasukan diberikan kelulusan bersyarat bagi membolehkan mereka turut sama menyertai saingan Liga A1 Semi Pro musim ini iaitu Kedah Darul Aman (KDA), Perlis GSA FC dan Seoul Phoenix FC (Korea Selatan) yang berpangkalan di Lembah Klang.

Lewat 1990-an sehingga 2010, Perlis bukanlah asing dalam arena bola sepak negara dengan Singa Utara ketika itu cukup disegani lawan selain pernah dianggap ‘giant killer’ yang memusnahkan pasukan besar.

Dalam era kegemilangan tersebut, Perlis juga pernah merasai nikmat menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta Liga Super 2005 selain menjadi pencabar utama kepada pasukan-pasukan hebat lain di negara ini.

Malah, dari 2004 hingga 2008 khususnya, Perlis sering kali berada di pentas akhir saingan dengan antaranya menjulang Piala Malaysia selain membawa pulang Piala Sumbangsih sebanyak dua kali.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN