Bincang secara dalaman kedudukan Tengku Zafrul, kuota tujuh

Bincang secara dalaman kedudukan Tengku Zafrul, kuota tujuh menteri UMNO

AHMAD Zahid Hamidi ketika mempengerusikan mesyuarat pramajlis bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja rasmi beliau ke United Kingdom hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Isu kedudukan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai menteri disebalik hasrat UMNO supaya kuota tujuh menteri penuh dikembalikan kepada parti itu perlu dibincangkan di peringkat dalaman Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sebagai menghormati Perdana Menteri yang mempunyai hak mutlak termasuk berkaitan pelantikan dan rombakan jemaah menteri.

“Hak mutlak pelantikan menteri ini adalah kepada Perdana Menteri, dan perkara ini elok kita adakan perbincangan secara dalaman supaya tidak timbul interpretasi dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pramajlis bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja rasmi beliau ke United Kingdom di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kedudukan Tengku Zafrul sebagai Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri yang tidak terjejas meskipun mengumumkan keluar UMNO.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang merupakan Presiden UMNO mahu supaya kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan semula kepada parti itu susulan tindakan Tengku Zafrul itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, tidak berlaku sebarang ketidaktentuan dalam UMNO susulan tindakan dibuat oleh Tengku Zafrul.

“Tidak ada sebarang kepanasan berlaku dalam UMNO, kebanyakan akar umbi menyatakan eloklah keluar jika tiada ketaatan dalam parti.

“Kita jangan ganggu kerana beliau sedang melakukan ibadah haji, diharapkan dapat hidayah yang baharu, mudah-mudahan ketenangan itu akan menyelubungi minda beliau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN