Hasrat mahu melihat anak-anak di luar bandar berjaya dalam pelajaran mendorong Datuk Saiful Yazan Sulaiman, 59, berusaha memberi keutamaan dalam meningkatkan taraf pendidikan penduduk sejak beliau menjadi Ahli Undangan Negeri (ADUN) Johol, Kuala Pilah.
Katanya, setiap anak di kawasan luar bandar juga berhak mendapat peluang yang sama seperti pelajar di bandar sekali gus mereka dapat mengubah kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik kelak.

“Saya percaya pendidikan mampu mengubah masa depan seseorang. Bila anak-anak Johol berjaya kelak, saya harap mereka kembali berbakti di tanah kelahiran sendiri dengan menyumbang semula kepada pembangunan kampung dan masyarakat,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Pusat Khidmat ADUN Johol baru-baru ini.
BIODATA
Datuk Saiful Yazan Sulaiman
Usia: 59
Jawatan: ADUN Johol
Asal: Negeri Sembilan
Parti: UMNO
Jelas beliau, untuk itu, beliau mewujudkan sebuah pusat tuisyen sejak tahun 2019 yang memberi ruang kepada rakyat di kawasannya terutama golongan kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas tambahan.
“Kini rakyat DUN Johol tidak perlu susah-susah hantar anak mereka ke bandar bagi menghadiri kelas tambahan di pusat tuisyen yang jauh di bandar,” katanya.
Kata Saiful Yazan, pusat tuisyen yang diwujudkannya itu menjadikan Johol satu-satunya DUN yang mempunyai pusat tuisyen dalam pusat khidmat wakil rakyatnya.
“Kami sediakan pusat tuisyen yang selesa dan lengkap supaya pelajar lebih fokus. Guru-guru yang mengajar pun berpengalaman dan ada juga graduan dari Johol sendiri yang bantu sebagai tutor.
“Saya juga berhasrat bagi mewujudkan pusat akademik khas untuk anak-anak Johol. Selain hadir ke kelas tuisyen tuisyen, mereka juga boleh dapat bimbingan akademik secara menyeluruh,” katanya.
Tambahnya, meskipun Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi keutamaan dalam pembangunan kemahiran, beliau berpandangan asas akademik tetap perlu diberi penekanan agar pelajar mempunyai landasan ilmu yang kukuh.
“TVET memang penting, tetapi asas akademik pun perlu dititikberatkan. Kita juga perlukan tenaga profesional. Jadi, bagi saya kedua-duanya perlu bergerak seiring supaya masyarakat kita berkembang secara seimbang.
“Ramai anak Johol ada potensi besar, sayang jika mereka terlepas peluang hanya kerana kurang pendedahan atau kekurangan sumber,” terangnya.
Beliau dalam pada itu berbangga kerana seramai 20 anak kelahiran DUN Johol berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Sementara itu, Saiful Yazan memberitahu, pembinaan sebuah balai bomba sedang diusahakan di Johol.
Ini kerana kawasan itu sering dilanda banjir selain memaklumkan projek tebatan banjir bagi Sungai Jelai dan Sungai Johol juga akan bermula dalam masa terdekat dalam usaha menangani masalah serupa.
“Disebabkan Johol ni merupakan hotspot banjir, jadi saya sedang mengusahakan pembinaan sebuah balai bomba kerana dengan adanya balai bomba akan membolehkan bantuan sampai lebih cepat,” jelasnya.
Saiful dalam pada itu meluahkan rasa syukur kerana kehadirannya sebagai wakil rakyat di kawasan itu sejak 2018 diterima baik oleh penduduk Johol tanpa mengira bangsa dan umur.
Katanya, sekiranya tidak menjadi seorang wakil rakyat, beliau akan menceburi bidang perniagaan atau menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan memberi bakti kepada penduduk.
Tambahnya, berbakti untuk masyarakat merupakan kepuasan bagi dirinya.
“Jika saya tidak menjadi Yang Berhormat sekalipun, saya tetap akan berkhidmat melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau menceburi bidang perniagaan,” katanya.
Sebelum menceburi bidang politik, beliau sering bergiat aktif menyertai pelbagai NGO serta pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat.
Kata bapa kepada lima orang anak ini, selain ahli keluarga sokongan daripada penduduk setempat penting buatnya untuk membakar semangatnya bagi terus menabur bakti.
Sementara itu dari segi pembangunan fizikal, Saiful Yazan berkata, ia sedang rancak berlangsung namun terdapat ruang yang memerlukan penambahbaikan.
“Saya melihat terdapat keperluan lagi untuk mempertingkatkan ekonomi penduduk setempat dengan membawa masuk kedai-kedai serbaneka yang sekali gus membuka peluang pekerjaan di kawasan itu.
“Selain itu, kini lebih 90 peratus kawasan di DUN Johol telah terang dengan pemasangan lampu jalan selain kerja menaik taraf pasar-pasar awam sekitar.
“Penduduk juga kini sudah mempunyai kemudahan mesin ATM di mana sebelum ini mereka terpaksa ke bandar untuk tujuan transaksi asas,” katanya lagi. –UTUSAN










