Bella, tujuh rakan tukar pengakuan tak bersalah pukul, ugut dan kurung seorang lelaki

Bella, tujuh rakan tukar pengakuan tak bersalah pukul, ugut dan kurung seorang lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita dikenali sebagai Bella dan tujuh rakan lelakinya menukar pengakuan kepada tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk memeras ugut, memukul dan mengurung seorang lelaki, April lalu.

Bella atau nama sebenarnya Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25, Ahmad Rushdi Jumadi, 23, Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25, Muhammad Haikal Zulkarnain,19, Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23, Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20, dan Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19, menukar pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, A. Shaarmini dan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.

Di hadapan Shaarmini, kesemua mereka bersama dua lagi yang masih bebas didakwa memeras ugut Muhammad Faris Syahmi Mohd. Ridzwan, 22, sebanyak RM3,000 sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM650 dan kunci motosikal Yamaha Y16 di sebuah rumah di Jalan Bunga Daisi, Plentong, Masai di sini antara pukul 10 malam hingga 4 pagi, 18 April lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, kesemua tertuduh lelaki bersama seorang lagi rakan yang masih bebas didakwa mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sama pada masa dan lokasi yang sama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Nur Fatin, kesemua mereka didakwa menakutkan dan mengugut mangsa pada masa dan lokasi sama dan didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Akta 572) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa mengurung mangsa sama pada masa dan lokasi sama dan didakwa di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN