PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq sekali lagi mencuri perhatian selepas memberikan gelaran ‘iron lady’ atau wanita besi kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah.
Gelaran spontan tersebut diberikan oleh Syed Saddiq ketika menitipkan ucapan penghargaan buat ibu kepada dua cahaya mata itu yang disifatkan menjadi tulang belakang buatnya.
“Terima kasih yang tidak terhingga pada Iron Lady saya, Bella Astillah, untuk jatuh bangun saya,” katanya ketika menghadiri majlis sambutan hari kelahiran ibu aktres itu, Siti Zarina Astillah yang ke-49.
Umpama cuba mengambil hati ibu kepada ‘kekasih hatinya’ itu, Syed turut memuji kecantikan wanita berkenaan yang tidak dimamah usia.
“Selamat hari lahir, wanita besi original yang melahirkan lebih ramai wanita besi yang lain. Tanpa kasih sayang seorang ibu, mustahil untuk anak-anaknya berjaya.
“Terima kasih banyak dan selamat hari lahir, semoga dipanjangkan umur. Saya masih tidak percaya ibu sudah berusia 49 tahun,” selorohnya menerusi sebuah video yang tular.
Kagum melihat cara ahli parlimen itu menyantuni keluarga Bella, perkongsian yang tular di TikTok itu turut dihujani dengan pelbagai respons yang rata-ratanya merestui hubungan mereka.
“Alhamdulillah, mantap ucapan dari Yang Berhormat (YB) terima kasih. Semoga hidupmu dengan Bella dilindungi Allah dan bahagia selalu,” komen seorang netizen.
“Wah, bersajak dahsyat YB untuk Mama. Bertuahlah dapat menantu begini,” komen seorang lagi netizen.
Meskipun hubungan mereka telah mendapat lampu hijau dari warganet, pasangan itu bagaimanapun memilih untuk mengunci mulut dari mengesahkan status hubungan mereka kepada umum. -UTUSAN