‘Bayang Hitam’ jadi lagu wajib budak sekolah! - Utusan Malaysia

‘Bayang Hitam’ jadi lagu wajib budak sekolah!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi berbakat besar, Amir Masdi, 28, mengakui tidak menyangka lagu ciptaannya, Bayang Hitam, berjaya menambat hati peminta cilik sehingga menjadi siulan ramai.

“Saya tak sangka langsung lagu tu boleh jadi kegemaran kanak-kanak. Alhamdulillah, saya rasa sangat bangga kerana ia memberi makna besar buat saya sebagai seorang penyanyi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Amir, yang pernah menjulang trofi Juara Akademi Fantasia 2016, turut berkongsi keterujaannya apabila sering menerima jemputan membuat persembahan di sekolah-sekolah. Jelasnya, pengalaman itu membuatkan beliau lebih dekat dengan generasi muda.

“Kanak-kanak sekarang sangat sopan dan ikhlas. Kalau mereka suka sesuatu, mereka akan tunjukkan dengan jujur. Saya terharu bila tengok karya saya diterima dengan baik oleh mereka,” ujarnya sambil tersenyum.

Ketika ditanya tentang prinsip hidup dan tekanan sebagai selebriti, Amir mengakui beliau sentiasa berusaha menampilkan imej positif kepada khalayak.

“Saya anggap ini kerja saya, macam orang lain juga. Kalau saya tunjukkan aura negatif, ia akan dapat kecaman. Jadi saya pilih untuk sebarkan benda yang baik,” katanya.

Meskipun namanya semakin popular, Amir tidak pernah menganggap dirinya berada di zon selesa.

“Saya masih ‘pushing’, masih kerja keras dengan team saya. Kita tahu, untuk kekal relevan dalam industri seni bukan mudah. Tapi asalkan ada peningkatan walau satu peratus pun, itu sudah cukup memberi motivasi pada diri,” katanya jujur.

Menurut Amir, masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu adalah antara detik sukar buat dirinya apabila beberapa lagunya tidak mendapat sambutan seperti diharapkan. Namun, dia kekal positif dan percaya pada rezeki yang ditentukan.

Melihat kepada kemunculan bakat baharu saban hari, Amir mengakui beliau sentiasa merasa ‘tergugat’ dengan kehadiran pendatang baru dalam industri.

“Hari-hari rasa tergugat sebab sekarang ni sesiapa pun boleh jadi penyanyi, kadang-kadang bukan penyanyi asal pun ada potensi besar. Tapi saya anggap ini semua perkara yang baik untuk industri kita,” katanya.

Amir juga menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong sejak awal kerjayanya.

“Kalau mereka percaya dengan bakat saya, kenapa saya tak boleh percaya dengan diri sendiri ?” tambahnya mengakhiri perbualan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN