JERANTUT: Jalan raya dari Kampung Tuit, Kuala Tahan ke Mat Daling, Ulu Tembeling di sini sejauh 48 kilometer (km) yang dibina pada 2015 mempunyai struktur geologi kompleks iaitu batuan lemah dan mudah runtuh di bahagian cerun serta mendap di kawasan permukaan rata atau lurah.
Ketua Program Bencana Geologi, Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Lim Choun Sian berkata, jalan itu melalui zon bentuk muka bumi pelbagai ragam kerana bukit dan lurah sungai yang banyak sepanjang laluan.
“Cabaran yang juga penyelesaian kepada membina jalan merentasi kawasan itu adalah keperluan kaedah pemotongan cerun dan reka bentuk kejuruteraan untuk kestabilan cerun.
“Ia juga membabitkan tambakan kawasan rendah dan kawalan hakisan akibat daripada keadaan rencam kedua-duanya iaitu geologists dan geomorfologi (rupa bumi hasilan proses geologi) itu. Disebabkan keadaan rupa bumi ini banyak kerja kawalan untuk kestabilan diperlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan, kira-kira 3,000 penduduk Ulu Tembeling serta pelancong dari dalam dan luar negara berdepan cabaran perhubungan darat apabila jalan raya di situ masih tidak sempurna sejak dibina pada 2015.
Dalam tempoh 10 tahun, jalan raya di situ kekal berada di takuk lama apabila kerap berlaku runtuhan cerun, permukaan tidak rata akibat mendapan seolah-olah dilanda ‘gempa bumi’.
Sewaktu musim tengkujuh bermula penghujung September hingga menjelang awal tahun, runtuhan cerun dan mendapan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan penduduk terputus hubungan, tidak boleh keluar ke bandar Jerantut.
Difahamkan, kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan besar yang dianggarkan melebihi RM30 juta setiap tahun bagi membaik pulih cerun yang runtuh dan mendapan di sepanjang laluan.
Ditanya adakah lokasi tersebut sesuai untuk pembinaan jalan raya, Choun Sian berkata, kesesuaian itu mengikut keperluan dan ada ketika terpaksa membuat jalan merentasi rupa bumi (terrain) yang sukar untuk kemudahan orang ramai.
“Tetapi apabila terrain yang sukar, memang memerlukan banyak kajian khas untuk setiap cerunnya dan memerlukan kos yang relatif tinggi dan masa mencukupi.
“Saya beri bayangan terrain yang sukar, cuba kira berapa banyak kawasan lengkok jalan ini (berbanding jalan raya lurus dan permukaan rata) dan perlu memotong cerun dan ada juga kawasan perlu ditambak untuk mencapai kerataan jalan,” katanya.
Kesimpulannya, beliau berkata, jalan raya dari Kampung Tuit ke Mat Daling mempunyai banyak kawasan bermasalah dan memerlukan kajian serta reka bentuk khas untuk menstabilkan kawasan tersebut. – UTUSAN