MARAN: Seramai 28 penumpang termasuk 13 penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berdepan detik cemas apabila bas ekspres dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) (Arah Timur) di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, bas ekspres terbabit dilaporkan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Terminal Sentral Kuantan (TSK).
Kesemua penumpang bas terbabit dan pemandu lori itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati bas terbabit yang dipandu lelaki berusia 38 tahun melanggar bahagian belakang lori jenis Nissan yang berada di lorong kiri lebuh raya.
“Ketika kejadian, lori terbabit sedang bergerak lurus di lorong kiri apabila secara tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh bas yang membawa 28 penumpang. Semua penumpang bas ekspres terbabit dipindahkan ke bas gantian sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai akibat kecuaian pemandu bas yang gagal mengawal kenderaan semasa berada di lorong sama. – UTUSAN