SEPANG: Sindiket penyeludupan rokok kini lebih licik apabila menjadikan bangunan kosong dan terbiar sebagai lokasi penyimpanan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, risikan dan maklumat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkar taktik itu sebelum menyerbu bangunan kosong di Balakong itu pada 22 Mei lalu.
Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Zulkifli Muhammad berkata, pihaknya berjaya merampas 1,878,800 batang rokok putih pelbagai jenama dan 377 kilogram (kg) tembakau tidak berkastam.
Beliau berkata, siasatan mendapati, rokok putih itu bernilai RM187,880 serta cukai dan duti bernilai RM1.26 juta manakala, tembakau pula bernilai RM75,400 dengan melibatkan duti dan cukai bernilai RM43,618.90.
“Ketika serbuan dibuat, bangunan kosong itu tiada penghuni selain tidak dilengkapi pintu dan tingkap. Kami kini masih mengesan pemilik bangunan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam kes berasingan, Zulkifli berkata, pihaknya turut merampas cecair rokok elektronik bernikotin seberat 62,000 liter dan dianggarkan bernilai RM334,000.00 serta melibatkan duti dan cukai sebanyak RM60,680.
Katanya, cecair rokok elektronik itu ditemukan pada 28 April lalu di salah sebuah pengendali terminal kargo udara yang beroperasi di Zon Perdagangan Bebas KLIA.
“Penahanan dagangan ini dibuat ekoran tidak memiliki lesen import nikotin yang sah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Cecair nikotin disenaraikan sebagai barang larangan di bawah Butiran 4, Jadual Il, Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang mana pengimportannya hanya dibenarkan dengan syarat memiliki lesen import daripada KKM.
“Cecair nikotin ini diikrar sebagai Disposable E-Cigarettes yang tidak melibatkan keperluan lesen import,” katanya. – UTUSAN