AS letupkan nuklear Iran

AS letupkan nuklear Iran

PASUKAN kecemasan Israel memeriksa kemusnahan infrastruktur akibat bedilan peluru berpandu Iran di Tel Aviv. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tindakan Presiden Ame­rika Syarikat (AS), Donald Trump melancarkan serangan terhadap Iran selepas memberikan tempoh berunding bukan sahaja mengejutkan dunia, malah di­khua­tiri mencetuskan implikasi jangka panjang terhadap keselamatan serantau.

Walaupun mendakwa mahu Iran memilih jalan damai dan memberikan tempoh sehingga dua minggu untuk usaha rundingan, Trump secara ‘diam-diam’ mengarahkan tentera AS melancar­kan serangan udara di tiga pusat kemudahan nuklear Iran iaitu di Fordow, Natanz dan Isfahan tanpa melalui kelulusan Kong­res.

Pemimpin dunia dan pakar politik melihat langkah diambil ahli perniagaan itu bukan satu keputusan pentadbiran yang bijak tetapi tindakan tergesa-gesa demi mempamer keupayaannya dengan memperjudikan keselamatan negara serta nyawa rakyat AS sendiri.

Dalam kenyataan ringkas dari Rumah Putih selepas mengerah tentera AS melancarkan serangan terhadap tiga tapak nuklear Iran, Trump menyifatkan operasi itu sebagai satu kejayaan besar.

“Semua orang sudah mendengar nama-nama tapak itu selama bertahun-tahun ketika mereka membina satu projek yang sangat merosakkan ini. Matlamat kami adalah untuk memusnahkan keupayaan pen­gayaan nuklear Iran dan menghentikan ancaman yang ditimbulkan oleh penaja utama keganasan dunia itu.

“Malam ini, saya boleh laporkan kepada dunia serangan tersebut adalah satu kejayaan ketenteraan yang menakjubkan. Kemudahan utama pengayaan nuklear Iran sudah dimusnahkan sepenuhnya.

“Iran, si pembuli Asia Barat, kini mesti memilih untuk berdamai. Jika tidak, serangan pada masa hadapan akan menjadi jauh lebih hebat dan lebih mudah,” katanya.

Trump mendakwa ratusan ribu orang di seluruh Asia Barat dan dunia terkorban akibat kebencian disebar Iran terutama­nya Panglima Pasukan Quds, Jeneral Qasem Soleimani yang maut ditangan AS pada 2020.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan memuji pemimpin Zionis itu sebagai rakan sekutu terbaiknya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Netanyahu. Kami bekerjasama seperti satu pasukan yang belum pernah dilakukan bersama sekutu lain dan kami pergi sejauh mungkin dalam menghapuskan ancaman dahsyat ini terhadap Israel,” katanya.

Selain Netanyahu, Trump juga turut berterima kasih kepada Pengerusi Ketua Turus Bersama AS, Jeneral Dan Razin Caine dan semua pemikir ketenteraan yang terlibat dalam serangan itu, malah mengancam akan bertindak lebih agresif jika Iran enggan menyerah.

“Akan ada keamanan atau tragedi yang jauh lebih besar bagi Iran daripada apa yang kita saksikan dalam lapan hari terakhir ini.

“Ingat, masih banyak sasaran yang tinggal. Malam ini adalah yang paling sukar dan mungkin paling berbahaya. Tetapi jika keamanan tidak dicapai dengan segera, kami akan menyerang sasaran lain itu dengan ketepatan, kepantasan dan kecekapan.

“Kebanyakannya boleh dihancurkan dalam beberapa minit sahaja. Tiada angkatan tentera di dunia yang mampu melakukan apa yang kami lakukan,” katanya.

Semalam, AS menggugurkan enam bom ‘bunker buster’ terhadap loji nuklear Fordow dan melancarkan puluhan serangan peluru berpandu cruise dari kapal selam ke dua tapak lain.

Trump memperincikan se­rangan berkenaan kepada hos televisyen Sean Hannity, berkata, setiap bom bunker seberat 15 tan itu digugurkan dari pesawat pengebom stealth B-2 Amerika.

Secara keseluruhan, 30 peluru berpandu Tomahawk ditembak dari kapal selam AS menya­sarkan kemudahan nuklear di Natanz dan Isfahan.

Sebagai reaksi, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, Wa­shington bakal menerima ‘ba­lasan berpanjangan’ susulan serangan yang dilakukan negara itu.

“Serangan AS terhadap nuklear Iran pasti akan menyebabkan Washington menerima akibat yang berkekalan. Itu janji Iran.

“Iran berhak menggunakan semua pilihan pertahanan yang ada untuk mempertahankan ne­gara dan rakyat kami,” katanya.

Tidak mendedahkan apa pe­rancangan seterusnya, Teheran terus melancarkan serangan terhadap Israel menyebabkan semakin banyak kemusnahan infrastruktur berlaku di negara haram itu.

Serangan peluru berpandu terbaharu Iran menyaksikan hampir 100 penduduk Yahudi di Tel Aviv cedera dengan ada yang parah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×