KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan kekebalan seorang Perdana Menteri daripada dikenakan sebarang saman sivil.
Rujukan persoalan itu berkait kes saman oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual tujuh tahun lalu.
Serangan seksual itu didakwa berlaku pada Julai 2021 iaitu hampir dua tahun sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Hakim Roz Mawar Rozain ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, dakwaan bahawa sebarang tindakan saman boleh menjejaskan keupayaan seorang Perdana Menteri menjalankan tugas eksekutif adalah sesuatu yang tidak boleh dipertahankan.
Tambah hakim itu, permohonan Anwar tidak mengandungi sebarang isu yang membolehkan persoalan undang-undang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
“Oleh itu, persoalan undang-undang yang ingin dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan tidak memenuhi ambang peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Mahkamah ini mestilah berpuas hati bahawa persoalan berhubung Perlembagaan Persekutuan mempunyai asas dan penting dalam menyelesaikan kes saman ini. Mahkamah Persekutuan bukanlah satu forum untuk membuat spekulasi pendapat nasihat bersifat defensif (defensive advisory opinions),” kata hakim itu.
Selepas menolak permohonan Anwar, Hakim Roz Mawar turut memerintahkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membayar kos sebanyak RM20,000.
Menerusi permohonan yang difailkan pada 23 Mei lalu melalui firma peguam yang baharu dilantik, Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Anwar turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Tambun itu juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang, seperti diperuntukkan dalam Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. – UTUSAN