PETALING JAYA: Anggota polis cedera ringan akibat pergelutan ketika cuba mengawal situasi Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung di sekitar ibu negara, semalam
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, himpunan bermula 3.05 petang hingga 6.40 petang itu dianjurkan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah membabitkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada Gabungan Mahasiswa.
Menurutnya, perhimpunan bermula dari Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman kemudiannya berarak ke Dataran Merdeka, Jalan Raja, di sini.
“Pada 4.30 petang, terkesan satu insiden, seorang peserta membakar suar hingga menyebabkan kepulan asap tebal yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan peserta, petugas keselamatan dan orang awam berdekatan.
“Berikutan itu, pihak polis mengambil tindakan pencegahan untuk memastikan asap dari suar itu tidak merebak.
“Semasa tindakan pencegahan diambil berlaku sedikit pergelutan antara peserta perhimpunan dan petugas Op Aman hingga menyebabkan kecederaan ringan kepada seorang anggota polis,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurutnya, pergelutan itu berjaya dileraikan oleh pihak polis.
Katanya, terdapat tiga laporan polis dibuat dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 14 akta sama.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.- UTUSAN