Anggota FRU masih sedih, terkenang rakan-rakan

Anggota FRU masih sedih, terkenang rakan-rakan

KOPERAL Mohd lzwan Ishak menerima kata-kata semangat daripada rakan-rakannya ketika keluar dari Hospital Teluk Intan, Jumaat lalu. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: “Dia masih bersedih terkenangkan rakan-rakannya yang telah pergi”.

Itu kata Nor Diyana Mohamad, 39, isteri Koperal Mohd. lzwan Ishak, 39, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dibenarkan pulang setelah dirawat di Hospital Teluk Intan akibat kemalangan jalan raya pada 13 Mei lalu.

Mohd. Izwan dan seorang lagi anggota, Sarjan Mazlan Mat, 50, menjadi anggota FRU terakhir yang dibenarkan pulang selepas 18 hari menerima rawatan di hospital.

Nor Diyana bersyukur apabila suaminya dibenarkan pulang rumah mereka di Kuarters FRU Unit 5 Sungai Senam Ipoh.

Dia mahu suaminya berehat dan berharap segera pulih sepenuhnya setelah 18 hari menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan tidak sedarkan diri selama 10 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kata Nor Diyana, suaminya masih bersedih berikutan kemalangan yang mengorbankan sembilan rakannya dan masih tidak boleh melupakan kejadian tersebut.

“Walaupun sudah pulang ke rumah, suami masih bersedih. Apabila dia bersendirian, saya nampak dia menangis teringatkan kejadian tempoh hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nor Diyana juga terharu di atas sokongan semangat dan bantuan pelbagai pihak sepanjang suami­nya dan mangsa lain yang cedera dirawat di hospital.

Menurutnya, sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak memberikan semangat kepada suaminya yang masih bersedih.

“Sejak dirawat di hospital lagi kami menerima sokongan daripada pelbagai pihak kepada suami dan anggota lain yang masih dirawat.

“Semasa suami hendak keluar hospital, ramai yang membantu dan memberikan sokongan sebelum kami dibenarkan pulang ke kuarters FRU Unit 5 Sungai Senam Ipoh.

“Sokongan mereka membuatkan suami mampu tersenyum dan mahu bercakap walaupun tidak banyak. Kunjung kawan-kawan FRU dan juga jiran di kuarters menunjukkan keprihatinan mereka terhadap kami,” katanya.

Dalam kejadian pada 13 Mei lalu, kenderaan membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.

Kemalangan itu mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.

Anggota yang terkorban ialah Sarjan S. Perumal, 44; Sarjan Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46; Koperal Mohd. Pozli Jaudin, 41; Koperal Nurit Pandak, 34, dan Koperal Amiruddin Zabri, 38.

Turut terkorban, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.

Kemalangan berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan pe­rayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×