Aktiviti berkaitan vape masih dikawal Akta 852

Aktiviti berkaitan vape masih dikawal Akta 852

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktiviti berkaitan pengimportan, pengilangan dan pengedaran cecair rokok elektronik di pasaran masih dikawal mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] serta beberapa peraturan agensi lain.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, bagi aspek pengeluaran Lesen Pengilang kepada mana-mana syarikat untuk mengeluarkan perantin rokok elektronik atau vape, cecair dan gel bercampur nikotin ia berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Mengikut Seksyen 2, Akta 852, cecair rokok elektronik ditafsirkan sebagai bahan merokok, oleh itu bahan merokok ini adalah produk merokok yang dibenarkan untuk didagangkan di pasaran tempatan namun dikawal ketat di bawah Akta 852 bersama peraturan dan perintah di bawahnya.

“Kawalan produk merokok ini juga dikawal oleh pelbagai agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui kawalan pengimportan termasuk bahan mentah, barangan siap dan pengujian piawaian keselamatan peranti pula oleh SIRIM.

“Ia dikuatkuasakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik (Vape Device) 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan mengenai sebuah syarikat yang mendapat lesen pengilang bagi mengeluarkan peranti rokok elektronik dengan cecair atau gel yang mengandungi campuran nikotin secara interim.

KKM berkata, sebarang keputusan berkaitan aktiviti pengimportan, pengilangan dan pengedaran cecair rokok elektronik adalah keputusan kolektif oleh semua agensi kerajaan terbabit.

“Akta 852 juga memperuntukkan kuasa kepada KKM untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kandungan dan emisi semua jenis produk merokok.

“KKM komited untuk memastikan penguatkuasaan dan kawalan di tahap maksimum bagi memastikan perlindungan kesihatan dan keselamatan masyarakat, sejajar dengan nilai Madani yang merangkumi kemampanan dan kesejahteraan.

“KKM akan sentiasa memastikan tiada sebarang kompromi dalam apa juga aspek yang menyentuh perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negara ini khususnya dalam penggunaan bahan-bahan rawatan dan perubatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN